Kuala Lumpur, — Bekas Menteri dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mendakwa kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikeluarkan lewat malam Ahad sebenarnya mengesahkan beberapa dakwaan beliau mengenai siasatan terhadap seorang calon Pemilihan PKR 2025.
Dalam kenyataan tersebut, SPRM menafikan tuduhan tidak berasas berhubung dakwaan campur tangan dalam pemilihan parti, namun Rafizi berhujah bahawa kenyataan itu secara tidak langsung mengesahkan dua perkara utama: calon PKR berkenaan memang disiasat, dan individu itu dibebaskan tanpa pertuduhan.
Menurut Rafizi, tindakan SPRM tidak menyatakan tarikh siasatan dan jenis tuduhan yang disiasat — dipercayai melibatkan pembelian sebuah flat lelong kos rendah — menimbulkan persoalan mengenai garis masa kejadian yang berlaku pada kemuncak pemilihan PKR April dan Mei lalu.
Beliau turut menjelaskan bahawa isu berkenaan dibawa secara dalaman kepada Perdana Menteri ketika itu, dan bukti rekod panggilan boleh mengesahkan wujudnya komunikasi tersebut. Katanya, beliau memilih untuk tidak menimbulkan perkara ini ketika pemilihan berlangsung bagi mengelakkan ia diputar belit sebagai “gimik politik”.
Rafizi turut mengaitkan isu tersebut dengan beberapa kontroversi melibatkan SPRM kebelakangan ini yang menurutnya menimbulkan persoalan mengenai kebebasan dan profesionalisme institusi itu.
Beliau secara terbuka menggesa Perdana Menteri agar tidak menyambung kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, demi menjaga kredibiliti dan integriti institusi pencegahan rasuah negara.
Rafizi menegaskan bahawa SPRM adalah institusi penting, terutama dalam membongkar skandal mega seperti 1MDB, dan usaha untuk mempertahankan reputasi serta kebebasannya perlu dilakukan dari dalam dan luar.



