Mati Dalam Tahanan Polis: Waris S. Thanabalan Terima Pampasan RM1.1 Juta

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat ketetapan baharu dalam kes kematian tahanan polis apabila memerintahkan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membayar RM1.1 juta kepada keluarga ahli perniagaan, S. Thanabalan, yang meninggal dunia ketika dalam tahanan pada 2018.

Dalam keputusan yang disampaikan secara dalam talian, laporan Bernama menyebut bahawa Hakim Noor Hayati Mat mengarahkan balu mendiang, V. Shanti, serta bapa wanita itu, P. Vathian, diberikan beberapa bentuk pampasan termasuk RM500,000 sebagai ganti rugi am akibat kecuaian dan RM200,000 sebagai ganti rugi teruk berkaitan kesakitan serta penderitaan yang dialami. Pampasan lain merangkumi RM30,000 bagi kehilangan nyawa, RM414,000 sebagai ganti rugi tanggungan dan RM10,000 bagi kos pengebumian.

Kerajaan juga diperintahkan membayar faedah lima peratus setahun bermula 17 April 2018 — tarikh Thanabalan ditemukan tidak sedarkan diri di lokap — sehingga keseluruhan jumlah pampasan dilunaskan. Kos RM7,000 turut diberikan kepada pihak plaintif.

Peguam keluarga, M. Visvanathan, mengesahkan keputusan tersebut ketika dihubungi media.

Perkembangan ini sekali gus mengakhiri pertikaian panjang dalam sistem perundangan negara. Pada Mac 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan PDRM dan kerajaan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum itu memutuskan bahawa pihak berkuasa bertanggungjawab atas kecuaian dalam kes tersebut.

Keputusan Mahkamah Rayuan pada Oktober 2023 mendapati kegagalan membawa Thanabalan ke hospital dengan segera menjadi faktor kritikal dan memerintahkan kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk penilaian jumlah pampasan.

Thanabalan ditahan pada 29 Mac 2018 di bawah SOSMA atas dakwaan kaitan dengan sindiket jenayah terancang. Pada 17 April 2018, beliau pengsan di lokap Ibu Pejabat Polis Shah Alam sebelum dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba.

Saman keluarga itu difailkan pada 2021 terhadap 11 pegawai polis, Ketua Polis Negara serta kerajaan, dengan tuntutan membabitkan kecuaian, salah laku dalam tugas serta ganti rugi bagi pihak anak-anak S. Thanabalan.

Mahkamah Tinggi pada 2022 pernah menolak saman tersebut, namun keputusan berkenaan kemudian digugurkan oleh Mahkamah Rayuan yang memihak kepada keluarga si mati.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat