DNB Diminta Laksana Libat Urus Termasuk Dengan Ahli Parlimen Pembangkang – Annuar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Digital Nasional Bhd (DNB) diminta menjalankan sesi libat urus termasuk bersama Ahli-ahli Parlimen pembangkang mengenai pelaksanaan 5G, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya pada masa ini keputusan untuk menggunakan Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) bagi pelaksanaan 5G sedang berjalan dan proses rundingan antara Digital Nasional Bhd (DNB) bersama syarikat telekomunikasi (telco) dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Berdasarkan sesi engagement (libat urus)yang dilakukan, Jemaah Menteri berpandangan ada asas untuk Jemaah Menteri diberikan penjelasan lanjut sebelum apa-apa keputusan nak diubah, kalau nak diubah apa yang diputuskan setakat ini.

setakat ini di mana negara kita memilih model ‘Single Wholesale Network system’ (sistem Rangkaian Pemborong Tunggal) dengan membentuk sebuah syarikat milik penuh kerajaan untuk mengendalikan pembinaan prasarana sementara syarikat-syarikat telco akan laksanakan tindakan atau peranan untuk menjalankan perniagaan 5G runcit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Annuar berkata berdasarkan maklum balas yang diterima juga, kerajaan mengambil pendekatan dan bersikap terbuka bagi perkara itu dibincangkan dan dikaji semula , namun setakat ini belum ada sebarang keputusan muktamad.

Kepada celahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) sama ada DNB boleh mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat pembangkang di Parlimen, Annuar berkata DNB seharusnya melaksanakan sedemikian seperti yang dibuat bersama penyokong kerajaan bagi memastikan ketelusan dari semua aspek memandangkan pelaksanaan 5G melibatkan kepentingan nasional.

Rang undang-undang yang memperuntukkan RM888,362,300 dalam Bajet 2022 bagi KKMM diluluskan dengan lebih suara menyokong setelah dibahaskan lebih 20 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang serta Bebas. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat