CYBERJAYA: Parti Islam Se-Malaysia sebentar tadi telah mengeluarkan kenyataan membatalkan rancangan mereka untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dijadualkan pada jam 3.00 petang ini di Istana Kinta, Ipoh.
Menurut Pesuruhjaya PAS Negeri, Razman Zakaria, keputusan untuk membatalkan untuk menghadap Sultan Perak adalah disebabkan arahan pucuk pimpinan PAS Pusat.
“Pas batal menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta, Ipoh 3 petang ini,
“Ianya arahan pucuk pimpinan”, kata Razman.
Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sudah menitahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas untuk menghadap bagi membuktikan calon menteri besar UMNO, Datuk Saarani Mohammad, mendapat sokongan majoriti di DUN.
Setakat ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah selesai menghadap Baginda pada jam 10 pagi tadi di Istana Kinta, Ipoh.
Difahamkan, majlis menghadap itu berkait sokongan majoriti dan pembentukan Kerajaan Negeri Perak yang baharu.
Pada pertemuan tersebut itu juga, Presiden UMNO telah menyembah maklum nama calon Menteri Besar Perak yang baharu bagi pertimbangan Sultan Nazrin Shah. -SuaraTV