KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sengaja melemparkan tuduhan liar bagi memburukkan imej Perikatan Nasional (PN) di mata rakyat kononnya telah membelanjakan RM500 juta bagi kontrak publisiti dan pengiklanan.
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, kerajaan Perikatan Nasional hanya membelanjakan RM181,752.20 untuk penjenamaan.
“Saya merujuk kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan saya telah membelanjakan RM500 juta bagi kontrak publisiti dan pengiklanan.
“Anwar juga mendakwa jumlah itu melanggar peraturan dan tatakelola serta keterlaluan.
“Ingin saya tegaskan ini adalah suatu pembohongan kerana jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali di Dewan Rakyat pada 14 Februari 2023 menyatakan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional hanya membelanjakan RM181,752.20 untuk penjenamaan,” jelas Presiden Bersatu itu dalam kenyataan pada Rabu.
Sedangkan Kerajaan Madani pimpinan Anwar yang tidak sampai setahun memerintah pada ketika itu berbelanja sebanyak
RM489,216, ujar Myhyiddin.
Pengerusi PN itu menyatakan, jawapan bertulis itu juga menyebut Kerajaan Keluarga Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM62 juta bagi tujuan yang sama.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menjelaskan hanya satu program sahaja dilaksanakan semasa pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional memandangkan negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu.
“Pada 25 Mei 2023 pula, ketika Persidangan Dewan Rakyat, Menteri yang sama telah memaklumkan tentang perbelanjaan terkini bagi program Malaysia Madani termasuk pengiklanan dan promosi iaitu sebanyak RM7.4 juta.
“Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang meminta Perdana Menteri menyatakan pecahan perbelanjaan yang telah dibelanjakan sehingga kini bagi tujuan promosi dan pengiklanan jenama Malaysia Madani di seluruh negara. Kenyataan ini dibuat sendiri oleh Menteri Kerajaan Madani di Parlimen,” katanya.
Muhyiddin berkata lagi, nampaknya Anwar membuat kenyataan yang tidak munasabah dan bercanggah dengan kenyataan oleh Menteri di Parlimen.
“Saya mentadbir negara ketika COVID-19 melanda. Seingat saya penggunaan papan iklan besar, televisyen dan radio pada masa itu adalah untuk menyampaikan pesanan-pesanan mengenai bahaya COVID-19, maklumat berkaitan Pakej Rangsangan Ekonomi dan bantuan untuk rakyat.
“Walaupun pada awal tahun ini iaitu 29 April lalu, Anwar berjanji “tidak akan membazirkan wang negara” dengan memasang papan iklan besar namun lihatlah hari ini, billboard gergasi Madani terpampang di merata-rata tempat, di mana-mana sahaja.
“Justeru kenyataan Anwar yang memetik sejumlah angka sebegitu besar kononnya dibelanjakan oleh Kerajaan pimpinan saya untuk tujuan promosi adalah satu tuduhan liar bagi memburuk-burukkan imej Perikatan Nasional di mata rakyat.
“Perbuatan menuduh secara semberono merupakan satu lagi episod pembohongan Anwar yang jelas berniat jahat,” bidas Ahli Parlimen Pagoh itu.
Semalam Anwar berkata, perbelanjaan kerja-kerja publisiti dan promosi kerajaan bagi tahun ini setakat Oktober 2023 tidak mencecah RM100 juta.
Perdana Menteri, berkata,beliau telah mengarahkan supaya perbelanjaan dikurangkan untuk tahun depan 2024 dan selanjutnya bagi promosi dan publisiti hebahan kerajaan tidak melebihi RM100 juta setahun iaitu tidak lebih separuh daripada apa yang dibelanjakan sebelum ini.
Beliau menjawab soalan bertulis daripada P. Prabakaran (PH-Batu) yang bertanyakan jumlah keseluruhan yang telah dibelanjakan oleh Kerajaan untuk kerja-kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital dan juga media televisyen sepanjang tahun sejak tahun 2020 hingga kini?
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, bagi tempoh tiga tahun antara 2020 hingga 2022, perbelanjaan untuk kerja-kerja pengiklanan, promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan telah mencecah RM700 juta.
“Ini bermakna secara puratanya lebih RM200 juta setahun telah dibelanjakan sepanjang dua pentadbiran yang lalu untuk menguar-uarkan usaha Kerajaan melalui semua platform media massa termasuk media cetak, media sosial dan juga media radio dan televisyen.
“Mengambil kira komitmen Kerajaan ini berbelanja dengan lebih berhemah, kerajaan ini komited untuk mengurangkan perbelanjaan komunikasi berkaitan. Pada tahun ini, perbelanjaan setakat Oktober 2023 tidak mencecah RM100 juta dan itupun berdasarkan kontrak yang telah dimeterai pada tahun lalu iaitu sebelum Kerajaan Perpaduan mengambil alih.
“Saya telah mengarahkan supaya perbelanjaan dikurangkan untuk tahun depan 2024 dan selanjutnya bagi promosi dan publisiti hebahan kerajaan tidak melebihi RM100 juta setahun iaitu tidak lebih separuh daripada apa yang dibelanjakan sebelum ini,” katanya.
[08/11, 16:23] +60 19-303 1325: Ahli Parlimen Jeli pula isytihar sokong Anwar, akui tiada paksaan atau ditekan