KIIC 2023 umum tiga pemenang teratas, terima RM500,000

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tiga pemenang teratas, Braintree Technologies, Ultimeat dan Kapitani diumumkan sebagai tiga pemenang utama Cabaran Impak Inovasi Khazanah (KIIC) 2023.

Mereka masing-masing akan menerima geran bernilai RM500,000 daripada Khazanah Nasional Berhad.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata melalui KIIC 2023, pihaknya berharap dapat menyalurkan sokongan dan modal yang diperlukan bagi pelaksanaan penyelesaian yang inovatif dan mampan.

Ini jelasnya bagi menangani isu keterjaminan makanan serta memacu daya tahan sosio-ekonomi dan potensi pertumbuhan untuk negara, seiring dengan strategi Memajukan Malaysia.

“Dedikasi dan kebijaksanaan syarikat-syarikat pemula ini bukan sahaja akan menambahbaik landskap agrimakanan tetapi juga berpotensi menyokong keperluan pelbagai isi rumah.

“Ketika kita mendepani peningkatan kadar inflasi, ketidaktentuan global dan cabaran yang dibawa perubahan iklim, penyelesaian inovatif yang dipelopori hari ini akan menjadi sumber daya tahan bagi pengguna dan negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Anugerah kepada para pemenang dan finalis disampaikan oleh Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Ketua Dana Impak Khazanah dan Penjagaan Kesihatan, Bryan Lim.

Untuk rekod, Hari Demo bagi Cabaran Impak Inovasi Khazanah (KIIC) 2023 telah melabuhkan tirai semalam.

Sebanyak 15 finalis mewakili perniagaan berimpak di Malaysia bertanding bagi merebut peluang mendapatkan pelaburan ekuiti dan/atau pembiayaan hutang dari Khazanah dalam usaha untuk menyampaikan penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran perubahan iklim demi keterjaminan makanan di Malaysia.

Tiga pemenang dengan penyelesaian yang paling inovatif dan unik serta impak yang boleh diukur, beroperasi dengan model perniagaan yang mampan dan menawarkan penyelesaian yang sesuai untuk Malaysia telah dipilih oleh panel hakim KIIC 2023.

Dua belas peserta akhir yang lain pula masing-masing akan menerima geran antara RM150,000 dan sehingga RM400,000.

Selain itu, tiga syarikat pemula berasaskan teknologi, Entomal, Hydroemission dan Kairos, masing-masing menerima “Anugerah Pemilihan Rakan Kongsi” dengan geran RM10,000 yang ditaja oleh program MYStartup Cradle.

Dilancarkan pada 25 Julai 2023, KIIC 2023 membuka permohonan daripada perniagaan-perniagaan Malaysia yang telah membangunkan penyelesaian inovatif dan berdaya maju secara komersial untuk menangani cabaran yang dibawa perubahan iklim terhadap keterjaminan makanan di Malaysia.

Khazanah telah menerima lebih daripada 160 permohonan, dengan 15 finalis disenarai pendek oleh jawatankuasa termasuk rakan kongsinya untuk menyertai Hari Demo, yang berlangsung pada 7 November 2023.

Pemilihan dibuat berdasarkan rekod prestasi keusahawanan, model perniagaan dan kelebihan kompetitif, penyampaian impak dan strategi pelaksanaan.

Para finalis juga menghadiri bengkel dan bimbingan selama empat minggu yang disampaikan pakar-pakar industri bagi menyediakan mereka untuk Hari Demo.

KIIC 2023 dianjurkan oleh Khazanah dengan kerjasama rakan kongsi program, Plug and Play APAC (“PNP”), rakan jangkauan, Impact Circle dan program MYStartup Cradle Fund, dan rakan kongsi pembiayaan Gobi Partners, 500 Global dan Agrobank.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat