Pembangkang tiada idea konstruktif kepada kerajaan – Exco Pemuda UMNO

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn mendakwa pembangkang tidak mampu mengusulkan idea konstruktif kepada kerajaan, terutama dalam perbincangan ke arah membuat keputusan dan dasar negara.

Memetik laporan Astro Awani, beliau menegaskan, pelawaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya pembangkang bersama-sama membuat keputusan dalam kerajaan saling tidak ubah seperti kerajaan perpaduan yang cuba diusulkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

“Ini merupakan tindakan susulan daripada usaha-usaha meraih sokongan pembangkang bagi Belanjawan 2021 yang dibentangkan tempoh hari.

“Saya tidak terperanjat tetapi menyeru Muhyiddin untuk melihat kepada solusi-solusi yang dikemukakan oleh parti kerajaan berbanding daripada pembangkang.

“Semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), mereka sudah gagal mentadbir ekonomi negara walhal ketika itu tiada masalah Covid-19. PH tidak memahami ekonomi,” katanya memetik laporan itu, hari ini.

Sabtu lalu, Muhyiddin berkata, kerajaan berhasrat untuk melibatkan pemimpin pembangkang menyertai mesyuarat-mesyuarat untuk bersama-sama terlibat dalam membuat keputusan dan dasar.

Beliau berkata, pelawaan itu adalah dalam usaha kerajaan memperluas kerjasama bipartisan, sambil menambah, kerjasama yang akan dirintis itu juga menjangkau pembentangan Belanjawan 2021.

Dalam pada itu Bastien melahirkan kebimbangan idea-idea ekonomi seperti menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tol percuma, tiada bantuan rakyat dan formula penurunan harga minyak akan diusulkan oleh PH.
“Semua idea-idea ini merupakan perkara yang tidak boleh dilaksanakan.

“Muhyiddin akan kecewa apabila mendengar contoh-contoh cadangan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok atau Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kelak.

“Tentunya kerajaan tidak mahu menerima cadangan minum satu sudu minyak sawit sebagai penyelesaian harga sawit,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, sidang dan kaukus Parlimen merupakan tempat terbaik untuk mendengar idea-idea pembangkang berhubung soal ekonomi.

“Lebih baik ahli peniagaan muda berjaya atau ahli ekonomi hebat menjadi sebahagian daripada Majlis Tindakan Ekonomi (EAC).

“Ia lebih baik daripada mengundang pembangkang untuk duduk bersama-sama dalam mesyuarat EAC yang dipengerusikan Muhyiddin setiap minggu,” katanya memetik laporan itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat