Kor Ming jangan nak jadi ‘ulama’ tentukan apa isu besar atau kecil umat Islam – Umno Johor

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming diselar agar tidak berlagak seperti ‘ulama’ menentukan apa yang kononnya isu besar atau kecil bagi umat Islam.

Setiausaha Umno Johor Datuk Abdul Halim Suleiman menegaskan, isu arak bukan isu kecil, ia soal prinsip, maruah dan hormat kepada Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.

“Jangan nak jadi ‘ulama’ kepada apa yang kononnya isu besar atau kecil bagi umat Islam. Isu arak bukan isu kecil, ia soal prinsip, maruah dan hormat kepada Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.

“Kor Ming boleh cuba bagi seribu alasan, tapi rakyat bukan bodoh. Bila majlis kerajaan ada arak, rakyat nampak itu sebagai kecuaian bukan kebetulan. Jangan cuba tegakkan benang basah dengan retorik ‘kita terbuka dan bertoleransi’ sebab toleransi bukan bermakna tunduk kepada perkara yang salah.

Tegas Ahli Dewan Negara itu, Umno Johor akan terus bersuara bila ada pemimpin tak kira pemimpin kerajaan atau pembangkang yang cuba meminggirkan sensitiviti umat Islam.

“Kita bukan mahu cari gaduh, tapi bila Islam diperlekeh, kita wajib bangun mempertahankannya.

“Saya juga menasihatkan pegawai atau kakitangan awam supaya elaklah untuk hadiri majlis yang ada hidangan arak supaya kita tak bersyubahah nanti.

“Malaysia boleh terus maju, terbuka dan mesra dunia tanpa perlu gadai prinsip agama. Dan kalau ada yang tak boleh faham perkara semudah ini, mungkin dia yang patut belajar semula apa erti hormat agama rasmi negara,” tegur beliau.

Abdul Halim yang juga Ketua Umno Bahagian Tebrau berkata demikian mengulas kenyataan Kor Ming yang menyeru semua pihak agar tidak membesar-besarkan isu hidangan arak pada Global Travel Meet 2025 baru-baru ini.

Menurutnya, isu itu tidak harus diperbesarkan apatah lagi mencari kesalahan yang boleh menimbulkan polemik kerana boleh menjejaskan imej negara, terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

“Kita perlu menonjolkan imej Malaysia sebagai destinasi yang mesra dan terbuka kepada pelancong dari seluruh dunia. Jika kita terus mencipta isu-isu sebegini, sukar untuk kita bekerjasama dan mencapai matlamat bersama,” katanya pemimpin DAP itu.

Abdul Halim berkata, kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga wakil DAP, Nga Kor Ming yang anggap isu hidangan arak pada majlis yang dinaungi Tourism Malaysia sebagai isu kecil dan nasihatkan supaya jangan besarkan isu hidangan arak kerana boleh jejaskan imej negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 jelas tunjukkan betapa dia gagal fahami denyut nadi umat Islam di Malaysia.

“Bagi saya, ini bukan soal ‘nak cari gaduh’ atau ‘tak faham etika antarabangsa’, tapi lebih penting, ia soal menghormati agama rasmi negara Islam. Jangan anggap Orang Melayu Islam tak faham dunia.

“Kor Ming seolah-olah cuba menggambarkan bahawa rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu Islam, bodoh atau tak matang dalam memahami etika acara antarabangsa. Hakikatnya, umat Islam di Malaysia sudah lama hidup bersama kepelbagaian kaum dan budaya. Kita faham tentang adat dan norma global.

“Tapi, dalam masa yang sama ada ‘garis merah yang kita tak boleh langgar’. Bila majlis itu dianjurkan atau dinaungi oleh kerajaan, ada tanggungjawab moral dan agama untuk pastikan tiada perkara yang bertentangan dengan Islam berlaku di bawah panji kerajaan sendiri,” katanya.

Ujarnya, saman BN tak pernah pun isu ini timbul -sejak zaman BN lebih 60 tahun mentadbir, tak pernah timbul isu hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan- Kalau ada pun, ia dikawal ketat dan jelas dipisahkan daripada acara rasmi.

“Tapi bila tiba zaman Pakatan Harapan (PH) , tiba-tiba muncul pula idea pelik, kononnya ‘normal’ untuk hidang arak sebab ia acara antarabangsa. Nak tanya balik, sejak bila ‘normal’ itu jadi alasan untuk langgar dasar Islam? -Jangan sembunyikan diri di sebalik alasan ‘acara swasta’.

“Kor Ming kata majlis itu dianjurkan oleh sektor swasta, bukan kerajaan. Tapi semua orang tahu ia program yang ada kaitan dengan Kementerian Pelancongan dan agensi kerajaan. Logo kerajaan terpampang, pegawai kerajaan hadir,dan majlis itu guna nama Malaysia untuk promosi pelancongan negara.

“Kalau dah guna nama kerajaan dan libatkan agensi kerajaan, jangan sembunyi di sebalik alasan ‘acara itu diambil alih oleh swasta’. Kerajaan tetap bertanggungjawab terhadap imej yang dibawa. Sebab yang dapat imej buruk di mata rakyat terutamanya orang Islam nanti adalah kerajaan dan bukannya pihak swasta,” katanya.

Beliau membidas agar tidak menggunakan ‘imej antarabangsa’ sebagai alasan lembik.

“Alasan bahawa isu ini boleh “jejaskan imej Malaysia di mata dunia” hanya menunjukkan sikap terlalu naif dan tunduk kepada tekanan luar. Negara Islam lain seperti Arab Saudi, Brunei dan beberapa negara Timur Tengah jauh lebih tegas dalam hal ini, tapi pelancong tetap datang.

“Pelancong datang bukan sebab arak tapi mereka datang sebab keunikan budaya, kestabilan, dan keindahan negara. Jadi jangan gunakan alasan lembik untuk menghalalkan cara.

“Kalau Malaysia nak tonjolkan diri sebagai negara Islam moderat, biarlah moderat itu bermakna berprinsip bukan lembik,” kata beliau.

Abdul Halim menambah, sebagai Setiausaha Umno Johor beliau tegaskan bahawa Umno tetap konsisten dan tegas dalam mempertahankan kesucian Islam.

“Kami menyokong langkah MOTAC untuk memperketat polisi agar insiden seperti ini tidak berulang lagi, tetapi dalam masa sama kami mahu menteri-menteri seperti Nga Kor Ming berhenti memperkecilkan isu agama,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat