Jumlah Pengangguran Catat Penurunan 3.8 Peratus

- Advertisement -

SHAH ALAM – Bilangan penganggur menurun sebanyak 3.8 peratus iaitu daripada 778,200 orang pada Julai lalu kepada 748,800 orang pada Ogos 2021.

Tenaga Buruh Malaysia dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, ia menjadikan kadar pengangguran pada Ogos 2021 menurun 0.2 peratus kepada 4.6 peratus berbanding Julai yang merekodkan 4.8 peratus.

“Ini merupakan penurunan pengangguran yang pertama setelah merekodkan peningkatan pada Jun dan Julai 2021,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, kadar penduduk bekerja meningkat sebanyak 81,800 kepada 15.38 juta orang pada Ogos 2021 berbanding 15.29 juta orang pada Julai.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, bilangan penduduk bekerja terus berada dalam trend meningkat bagi bulan keenam iaitu sebanyak 1.5 peratus atau dengan pertambahan 223,100 orang berbeza dengan 15.15 juta orang pada Ogos 2020.

“Pada Ogos, nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga meningkat 0.2 mata peratus kepada 65.2 peratus berbanding 65 peratus pada Julai.

“Sektor perkhidmatan terus mencatatkan perubahan positif bulan ke bulan terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit serta kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial.

“Guna tenaga dalam sektor pembuatan dan pembinaan juga merekodkan pertumbuhan positif setelah mencatatkan penurunan pada bulan sebelumnya manakala sektor pertanian dan perlombongan serta pengkuarian kekal dalam trend menurun,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, pada Ogos 2021, bilangan tenaga buruh terus meningkat bagi bulan kedua sebanyak 0.3 peratus atau dengan pertambahan 52,500 orang kepada 16.13 juta orang berbanding 16.07 juta orang pada Julai.

“Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan tersebut meningkat sebanyak 0.1 mata peratus kepada 68.4 peratus berbanding laporan pada Julai yang mencatatkan 68.3 peratus.

“Selain itu, bilangan luar tenaga buruh menurun sebanyak 0.4 peratus atau 26,900 orang merekodkan 7.45 juta orang berbeza dengan 7.48 juta orang yang direkodkan pada bulan lalu.

“Komponen terbesar luar tenaga buruh adalah kerja rumah atau tanggungjawab keluarga yang meliputi 44.8 peratus diikuti kategori bersekolah atau latihan dengan 41.8 peratus,” tambah kenyataan itu lagi.

Dalam kenyataan sama memaklumkan bahawa penurunan kes Covid-19 harian dan peningkatan jumlah dos vaksinasi di seluruh dunia dijangka memberi kesan pada pertumbuhan ekonomi global.

Tambahnya, indikator Covid-19 di Malaysia juga mula menunjukkan penurunan manakala bilangan golongan dewasa yang lengkap divaksinasi telah mencapai kadar lebih daripada 88 peratus sekali gus membawa peralihan lebih banyak negeri ke fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) berikutnya.

“Peralihan positif ini memberi isyarat prestasi ekonomi Malaysia akan pulih semula secara beransur-ansur susulan lebih banyak perniagaan kembali beroperasi dengan kapasiti yang lebih.

“Prestasi ekonomi negara yang menggalakkan akan meningkatkan permintaan buruh termasuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam ekonomi,” kata kenyataan itu. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,578FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat