MCMC berjaya sekat 2.1 bilion panggilan meragukan, 2.1 bilion SMS berunsur penipuan sejak 2022

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2.1 bilion panggilan meragukan dan berunsur penipuan serta 2.1 bilion SMS tidak diminta berjaya disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi sejak 2022 hingga 1 Ogos lalu.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, berkata sepanjang tempoh itu, 184,289 talian mudah alih dan tetap yang menghantar SMS meragukan turut ditamatkan.

“Usaha itu dilaksanakan bagi melindungi pengguna daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian, selaras dengan pindaan Seksyen 233(1) Akta 588.

“Penyebaran kandungan palsu dengan niat melakukan penipuan adalah satu kesalahan yang boleh dihukum denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain denda tambahan RM5,000 setiap hari kesalahan diteruskan,” katanya menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beufort) dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen, lapor BH pada Jumaat

Dalam pada itu, Fahmi berkata, MCMC bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan bantuan teknikal termasuk permohonan penurunan kandungan media sosial, sekatan laman sesawang, pembekalan maklumat profiling dan analisis forensik digital bagi mempercepatkan proses siasatan yang berkaitan dengan kesalahan penipuan dalam talian.

“Dari 1 Januari 2024 sehingga 1 Ogos lalu, penyedia perkhidmatan media sosial atas permohonan MCMC sudah mengambil tindakan penurunan 112,734 kandungan penipuan dan menyekat tujuh laman sesawang berunsur penipuan.

“Tindakan itu dibuat berdasarkan aduan yang diterima serta garis panduan komuniti yang sudah ditetapkan oleh setiap platform, selaras dengan undang-undang tempatan,” katanya.

Jelasnya, arahan larangan terhadap kandungan terlarang di dalam SMS yang meliputi kandungan pautan (hyperlink) permohonan maklumat peribadi dan nombor telefon untuk dihubungi (callback number) sudah dikuatkuasakan sejak 1 September 2024.

“Langkah itu bertujuan melindungi pengguna dan seterusnya membendung jenayah penipuan di mana perkhidmatan SMS boleh diekploitasi oleh penjenayah dengan menyamar sebagai pelbagai pihak termasuk entiti awam dan swasta untuk memperdayakan orang ramai,” katanya.

Tambahnya, MCMC juga melancarkan Kempen Internet Selamat pada 21 Januari lalu, bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan dalam talian bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah dalam talian dan seterusnya mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.

“Kempen berkenaan akan dilaksanakan di 10,000 sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta Institut Pendidikan Guru (IPG) melalui beberapa inisiatif libat urus dan kerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar di universiti awam seluruh negara.

“Bagi mewujudkan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna terutama kepada kanak-kanak dan keluarga, MCMC melaksanakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan untuk memohon dan mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta 588 bermula 1 Januari lalu,” katanya.

Katanya, bagi memperkukuhkan sistem dan proses penyedia perkhidmatan bagi mengurangkan kemudaratan dalam talian pada platform mereka, penyedia perkhidmatan disarankan untuk mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Media Sosial yang telah diterbitkan oleh MCMC pada 20 Disember 2024.

“Sebagai sebahagian daripada pendekatan menyeluruh iaitu ‘whole of government’ bagi membanteras penipuan dalam talian, kerajaan menubuhkan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), hasil kerjasama antara Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM) dan MCMC.

“NSRC diterajui PDRM bukan sahaja berfungsi sebagai pusat tindakan sehenti, malah turut giat melaksanakan program kesedaran awam dan kempen nasional berkaitan penipuan dan jenayah digital,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat