KUALA LUMPUR – Parti MUDA menuntut Peguam Negara dan juga Kerajaan Malaysia untuk memberi penjelasan tentang keputusan menggugurkan Datuk Raja Rozela Raja Toran.
MUDA dalam kenyataan pada Selasa berkata, tidak boleh menerima alasan bahawa Perdana Menteri tidak masuk campur dalam kes-kes mahkamah ataupun proses pendakwaan kerana Kerajaan hari ini masih lagi memakai sistem perundangan sebelum ini iaitu Peguam Negara merupakan lantikan terus daripada Perdana Menteri.
“Kami melihat ada bayangan konflik kepentingan memandangkan yang didakwa ini ialah Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet, kerana sebagaimana kita ketahui, Peguam Negara yang menasihati Kabinet dalam hal ehwal perundangan dan inilah orang yang sama yang bertanggungjawab menyelia pendakwaan jenayah termasuk ahli-ahli Kabinet.
“MUDA juga menggesa Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia untuk memberi jaminan serta menyatakan langkah-langkah yang kerajaan akan ambil untuk memastikan bahawa kes-kes berprofail tinggi yang melibatkan ahli-ahli Kabinet dalam kerajaan hari ini bebas dan tiada unsur campur tangan,” katanya.
MUDA malah menegaskan, sudah tiba masanya kita mempercepatkan reformasi institusi perundangan, khususnya dalam mengasingkan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.
“Janganlah kita lupakan agenda reformasi dalam kita terbuai dengan percaturan madani,” bidas MUDA.
Ini merujuk kepada laporan media yang memaklumkan Datuk Raja Rozela Raja Toran, yang sebelum ini mengetuai pendakwaan ke atas kes penyelewengan dana Yayasan Akal Budi, telah digugurkan dari kes berkenaan.
Menurut MUDA, ini sesuatu yang agak mengejutkan memandangkan kes ini berprofil tinggi yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Datuk Raja Rozela merupakan antara timbalan pendakwa raya yang paling berpengalaman dan telah menjadi sebahagian dari kes ini sejak hari pertama.
“Perkara ini merupakan sesuatu yang amat aneh kerana beliau telah digugurkan dalam pertengahan kes.
“Bukan itu sahaja, yang digugurkan ini bukan ahli biasa dalam pasukan pendakwaan, tetapi yang mengetuai pendakwaan ini yang bertanggungjawab mengatur strategi dan tahu selok-belok kes ini secara mendalam,” ujarnya lagi.