Bersalah Tipu Pakej Umrah, Pengarah Urusan Dihukum Penjara 10 Tahun

- Advertisement -

SUNGAI PETANI – Seorang pengarah urusan syarikat dihukum penjara 10 tahun selepas didapati bersalah melibatkan penipuan pakej umrah ke Mekah dan ziarah ke Mesir terhadap 202 individu, antara tahun 2015 hingga 2016.

Hukuman itu dibuat Majistret Arif Mohamad Shariff selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Misbahalmunir Omar, 56, di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Isnin.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi 23 pertuduhan dan membenarkan semua hukuman dijalankan secara serentak bermula dari tarikh sabitan kes.

Selain itu, mahkamah turut mengecualikan tertuduh daripada hukuman sebatan kerana telah berusia lebih 50 tahun dan membenarkan permohonan pihak pembelaan menangguhkan hukuman berkenaan kerana akan melaksanakan proses rayuan berkaitan sabitan dan hukuman ke Mahkamah Tinggi.

Untuk itu, mahkamah memutuskan untuk menetapkan jaminan RM88,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga selesai proses rayuan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang juga pengarah urusan syarikat Raudah Mawaddah Travel & Tours Sdn Bhd telah melakukan urusan bagi melaksanakan rombongan umrah dan ziarah dengan seorang individu pada tahun 2015.

Individu berkenaan, Amzari Halim yang juga pengadu, seorang perunding dan mutawwif umrah telah diminta memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan tertuduh bagi pembelian tiket perjalanan pergi dan balik.

Bagaimanapun, tiada pemakluman daripada kepada pengadu yang menyatakan bahawa syarikatnya telah gulung tikar sejak 14 Januari 2015 atas perintah Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Selain itu, tertuduh turut meminta pengadu memasukkan wang peserta ke dalam akaun bank milik tertuduh, isterinya dan pekerja-pekerja syarikat tersebut.

Kesemua 56 transaksi dilakukan dalam tempoh 23 hari antara 2 Nov 2015 hingga 28 Jan 2016 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM434,250 membabitkan 202 peserta.

Tertuduh juga telah menghantar maklumat tiket bagi kesemua peserta pengadu yang mana penerbangan dijadualkan pada 29 dan 30 Januari 2016.

Namun, setelah tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur, kesemua itenari tiket yang dibekalkan tertuduh tidak sah pada hari kejadian dan tidak wujud sebelum laporan polis dibuat.

Tertuduh kemudian dihadapkan di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada 26 Jun 2018 dan dikenakan dengan 23 pertuduhan memperdayakan pengadu untuk memasukkan wang yang dikutip daripada 202 peserta berjumlah antara RM2,000 hingga RM36,600 antara 2 November 2015 hingga 28 Januari 2016.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di beberapa lokasi di sekitar Kedah, Johor, dan Selangor. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,498FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat