KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menghargai permohonan maaf dan pengakuan salah Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Adun Merlimau itu memuji sifat berjiwa besar yang ditunjukkan oleh Zahid.
“Terima kasih Datuk Seri Zahid Hamidi, manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan.
“Tetapi bukan mudah untuk mengakui kesilapan dan meminta maaf, hanya yang berjiwa besar sahaja mampu melakukannya,” kata Akmal.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi selepas Zahid mengeluarkan kenyataan mengakui kesilapan dan sekali gus memohon ampun daripada Allah dan meminta maaf pada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata beliau sebelum ini.
Presiden Umno itu pada Sabtu mendakwa Umno memerlukan ahli yang setia kepada parti dan tidak lari apabila diuji termasuk apabila tidak lagi menjadi kerajaan.
“Saya dan ramai pemimpin diuji. Kalau malaikat pun dijadikan Presiden Umno ketika itu, mungkin dia pun lari (pada sebelah) malam. Tapi rakyat tetap pertahan Umno. Kita tak perlukan orang bijaksana tetapi hanya menyusahkan.
“Kita tidak perlu orang kaya tetapi menghabiskan. Kita hanya mahukan ahli yang amanah dan taat setia kepada parti,” dakwanya ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sri Gading di Dewan Orang Ramai Parit Raja, Johor.
Susulan itu, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata beliau menerima setiap teguran dengan hati terbuka.