KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti (RPDK) oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berjaya merekodkan 75 peratus tahap kekal pulih dalam kalangan klien pada tahun lalu.
Menurut kenyataan AADK, RPDK yang turut membabitkan program pelantikan Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) yang terbabit secara langsung dalam aktiviti rawatan dan pemulihan klien RPDK berjaya meningkatkan kadar pemulihan.
Katanya, ia sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa AADK tidak membabitkan kumpulan pakar dan pemimpin masyarakat dalam pelaksanaan program rawatan dan pemulihan dadah.
“Ini terbukti apabila AADK berjaya mencapai sasaran kadar kepulihan klien tiga tahun lebih awal apabila klien yang tamat program RPDK mencapai tahap kekal pulih sebanyak 75 peratus pada 2023.
“Kadar kekal pulih diukur menggunakan Indeks kepulihan klien, iaitu instrumen yang dibangunkan berasaskan kajian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perkhidmatan RPDK disediakan di 42 pusat khidmat, termasuk Pusat Integrasi Masyarakat dan 108 Pejabat AADK Daerah yang dijenamakan semula sebagai Pejabat AADK Daerah dan Pusat Rawatan dan Pemulihan dalam Komuniti di seluruh negara.
Melalui perkhidmatan itu, AADK melaksanakan satu tindakan berstruktur membabitkan komitmen komuniti melalui perlantikan JKPD di 177 daerah.
Seramai 2,352 orang ahli JKPD dilantik pada ketika ini dan mereka adalah terdiri daripada kaunselor, guru, pegawai perubatan, ahli akademik, agamawan, pegawai polis, sukarelawan antidadah, usahawan, pemimpin masyarakat serta penjawat awam dalam bidang sosial dan kemasyarakatan.
Pada 2017 hingga 2023, sebanyak 3,155 aktiviti rawatan dan pemulihan dilaksanakan ahli JKPD di seluruh negara dan seramai 106,085 orang peserta yang terdiri daripada klien dan ahli keluarga berjaya hadir.
Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah bimbingan dan kaunseling, psikospiritual, sukan dan rekreasi, integrasi masyarakat dan latihan kerjaya serta penempatan kerja.
Pada masa sama, AADK berkata, sebagai langkah meningkatkan kualiti penyampaian, satu pendekatan baharu diperkenalkan di mana semua ahli JKPD yang baharu dilantik diwajibkan untuk melaksanakan ikrar bebas rasuah.
Katanya, tujuan elemen itu adalah untuk memastikan semua ahli JKPD mempunyai komitmen yang padu, meningkatkan integriti serta mencegah amalan rasuah ketika melaksanakan aktiviti di lapangan serta memastikan kebajikan klien diberi keutamaan.
“AADK akan terus memastikan program RPDK yang berkesan dan berasaskan pembuktian di masa hadapan dengan membabitkan lebih ramai ahli komuniti yang berminat serta mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan rawatan dan pemulihan dadah,” katanya.
Menurut AADK, pihaknya komited untuk menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan yang komprehensif serta berkualiti kepada klien, ahli keluarga klien serta masyarakat selaras dengan falsafah dan prinsip asas yang ditetapkan dalam Dasar Dadah Negara.
Katanya, AADK sudah memberikan perkhidmatan RPDK kepada kira-kira 85 hingga 90 peratus orang dari jumlah keseluruhan klien dan hanya 10 hingga 15 peratus yang dimasukkan ke Rawatan dan Pemulihan dalam Institusi (RPDI) setiap tahun.
“Pada tahun 2021 hingga 2023, seramai 202,820 klien diberi perkhidmatan dalam komuniti manakala hanya 25,298 klien diberi perkhidmatan dalam institusi.
“Perbezaan jumlah yang besar antara perkhidmatan RPDK dan RPDI adalah sebagai satu manifestasi pelaksanaan rawatan dan pemulihan yang berasaskan keperluan unik individu dengan membuat penilaian dari segi penyalahgunaan dadah, sokongan ahli keluarga, pekerjaan, pendidikan dan sokongan sosial yang lain terhadap klien sebelum sesuatu syor dibuat oleh Pegawai Pemulihan,” katanya. – BH