Hapuskan sindiket orang tengah, bantu nelayan – Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak kerajaan dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bertindak segera membanteras sindiket orang tengah yang mendominasi bekalan sektor perikanan sekali gus menghimpit golongan nelayan di negara ini.

Presiden PKR itu menegaskan, kerajaan menerusi kementerian terlibat perlu menyatakan pendirian berkaitan kewujudan komplot orang tengah yang mengawal rantaian bekalan sektor perikanan negara sehingga menjadi punca harga dan bekalan ikan serta produk akuakultur di negara ini tidak stabil.

“Saya meneliti laporan akhbar terkait kewujudan orang tengah yang mengawal rantaian bekalan sektor perikanan negara sehingga menjadi punca harga dan bekalan ikan dan produk akuakultur di negara ini tidak stabil.

“Isu ini ternyata amat mendukacitakan kerana ia memberi kesan mendalam kepada golongan nelayan dan keluarga mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menyeru supaya kerajaan mencari jalan bagi merungkai permasalahan yang berlaku dan menawarkan jalan penyelesaian.

“Usah biarkan sindiket orang tengah mendominasi bekalan sektor perikanan dan terus menekan golongan nelayan di negara ini,” desak beliau.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kewujudan orang tengah mengawal rantaian bekalan sektor perikanan negara menjadi punca harga dan bekalan ikan dan produk akuakultur di negara ini sentiasa tidak stabil.

Mereka bukan sahaja berkuasa membeli ikan pada skala besar, mencorak, menentu serta memanipulasi bekalan dan harga di pasaran negara tetapi juga membangunkan ekosistem perikanan kebal yang tidak mampu ditembusi pesaing baharu.

Modus operandi orang tengah ini cukup halus sehingga didakwa mewujudkan kitaran kejam menindas nelayan-nelayan kecil, sekali gus menjawab persoalan mengapa segelintir nelayan kecil-kecilan hidup miskin sampai terpaksa bergantung kepada bantuan sara hidup kerajaan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendedahkan, orang-orang tengah ini telah lama membina dan mempunyai rantaian pemasaran di seluruh negara sehingga menjajar ke luar negara.

“Mereka ini sangat berkuasa. Mereka ada kapasiti menyimpan stok ikan sebanyak 4,750 tan metrik ikan pada satu-satu masa, menjangkau penggunaan ikan dalam sehari bagi rakyat Malaysia yang berjumlah empat tan metrik.

“Ada enam orang tengah ikan seluruh negara. Di pelantar pendaratan ikan, saya dapati orang tengah itu ialah pemborong-pemborong yang sedia ada, mereka sentiasa cuba menghalang agar tiada pemain baru atau pesaing masuk dalam pasaran tersebut. Bot-bot besar dan juga penangkapan laut dalam adalah dipunyai oleh kelompok itu.

“Mereka ini menguasai kitaran ekosistem ikan negara. Daripada sumber di lautan, sehingga peringkat terakhir iaitu pemasaran kepada rakyat.

“Kemudian, mereka ada kapal laut dalam sendiri jenis C2. Mereka ada kilang beku, kilang proses sendiri. Malah mereka ada sistem pemasaran dan tahu nak jual kepada siapa. Mereka ini bergerak dalam rangkaian yang cukup luas di seluruh negara.

“Ada nelayan di Kedah yang ada kapal laut dalam jenis C2, mereka bawa balik ikan ke darat, tapi mereka tak boleh jual dengan harga yang stabil. Sebaliknya orang tengah yang akan datang dan tawarkan harga tertentu dan nelayan ini terpaksa akur sahaja dengan harga yang ditawarkan, yang semestinya rendah berbanding harga pasaran,” dedah beliau lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,592FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat