KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menerima dengan hati terbuka keputusan kepimpinan BN negeri itu menamatkan perkhidmatannya berkuat kuasa serta-merta dengan alasan jawatan berkenaan tidak temaktub dalam Perlembagaan parti.

Isham bagaimanapun menyatakan akan terus membantu BN sebaik mungkin dengan apa yang termampu walaupun tanpa sebarang jawatan dan berjuang sebagai ahli biasa seperti sebelum ini.

“Saya telah dimaklumkan hari ini bahawa perkhidmatan saya sebagai Ketua Penerangan Barisan Nasional Negeri Selangor telah ditamatkan berkuatkuasa serta merta.

“Berdasarkan surat daripada Barisan Nasional Selangor tindakan itu dibuat kerana jawatan Ketua Penerangan Barisan Nasional negeri tidak termaktub di dalam Perlembagaan Barisan Nasional.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama dan berjuang bersama saya sepanjang tempoh perkhidmatan saya sebagai Ketua Penerangan Barisan Nasional Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Rabu.

Pun begitu kata Isham perjuangan belum selesai.

“Oleh itu saya mohon agar tuan-tuan dan puan-puan meneruskan perjuangan dan usaha ini walaupun saya tidak lagi berada di kepimpinan BN negeri.

” Saya akan bantu sebaik mungkin dengan apa yang termampu walaupun tanpa apa-apa jawatan, dan berjuang sebagai ahli biasa seperti sebelum ini.

“Semoga Allah memberkati perjuangan kita. Sekiranya kita ikhlas, istiqamah dan sabar, Allah akan bantu dan berikan kita kejayaan demi masa depan negara dan anak cucu kita semua,” ucapnya.

Surat bertarikh 3 Jun itu dikemukakan oleh Setiausaha BN Selangor, Datuk Dr Mohamad Satim Diman yang memaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Selangor telah bersetuju agar perkhidmatan Isham sebagai Ketua Penerangan BN Selangor ditamatkan berkuat kuasa serta-merta.

“Keputusan ini dibuat melalui perbincangan bersama Pengerusi BN Malaysia (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dengan merujuk kepada Fasal 23 Perlembagaan BN di mana tidak termaktub dan tertera di dalam Perlembagaan bagi Pengerusi Jawatankuasa BN Negeri untuk melantik Ketua Penerangan,” kata surat itu.

Untuk rekod Isham yang juga bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak dilantik sebagai Ketua Penerangan BN Selangor pada 31 Mei 2020 menggantikan Datuk Abd Rahman Bakri.