Cikgu El Gamillo dinobatkan juara #CikguJuaraDigital 2021 MDEC

- Advertisement -

El Gamillo bin Habibun Tan, seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Jambu Bongkok, Marang, Terengganu telah dinobatkan sebagai pemenang program #CikguJuaraDigital 2021 (#CDJ21) anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). Menerusi kemenangan ini,  Cikgu El Gamillo membawa pulang hadiah bernilai RM15,000 yang merangkumi peralatan dan kelengkapan pembelajaran untuk sekolahnya serta mendapat tempat dalam Program Pembangunan Profesional  #CJD MDEC.

Mula dilancarkan pada 2019, #CDJ merupakan  program di bawah #SayaDigital MDEC melalui inisiatif #mydigitalmaker bagi mencari guru yang berjaya bangkit untuk mengatasi halangan dan seterusnya merevolusikan pendidikan melalui teknologi di Malaysia. Matlamat program ini adalah untuk meningkatkan jumlah guru yang cekap secara digital untuk menjadi Cikgu Juara Digital (Champion Digital Teacher) serta memberi inspirasi dan bimbingan kepada guru lain dalam komuniti masing-masing.

#mydigitalmaker adalah inisiatif berkonsep akademik hasil kerjasama awam-swasta  yang bertujuan untuk mewujudkan negara pencipta digital dengan mengubah belia Malaysia daripada sekadar menjadi pengguna digital kepada pengeluar digital.

Berasal dari Muar, Johor, Cikgu El Gamillo , 41 , merupakan cikgu bahasa Melayu dan muzik yang telah berkecimpung dalam dunia pendidikan selama 17 tahun. Beliau juga merupakan Pakar Pendidik Inovatif Microsoft dan Guru Bertauliah Apple. Cikgu El Gamillo juga telah menghasilkan lebih 60 video di saluran You Tubenya mengenai topik-topik pembelajaran di rumah (PdPR) serta tutorial yang merangkumi pelbagai kemahiran digital yang penting.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MDEC kerana menyedari usaha yang dilakukan oleh para guru. Saya juga berasa sangat bangga kerana dipilih sebagai pemenang #CJD21. Ini merupakan peluang dan platform yang tepat untuk meningkatkan mutu golongan pendidik dalam menggunakan teknologi digital kerana kaedah penyampaian, pengajaran dan pembelajaran sangat penting ketika kita berdepan cabaran pandemik.

“Pada masa sama, saya juga ingin menyeru rakan guru yang lain untuk memanfaatkan platform digital dan menjadi agen perubahan dan transformasi dalam pendidikan negara. Ini kerana manfaatnya sangat besar dan saya akan berusaha untuk memberi inspirasi kepada gelombang pendidik digital generasi seterusnya di Malaysia, ”kata El Gamillo.

El Gamillo mempunyai lebih daripada 5,000 pengikut di akaun media sosialnya dan juga laman web (www.cikguel.com)  yang meneroka bidang teknologi dan pendidikan.

“#CJD tahun ini menyaksikan peningkatan penyertaan membabitkan peserta yang mempunyai pelbagai latar belakang yang unik untuk dikongsi. Kesemua mereka merupakan pemimpin digital dengan cara yang tersendiri. Ini berlaku hasil dorongan MDEC untuk membolehkan peluang digital yang adil, mengubah ke arah Malaysia 5.0 iaitu sebuah negara yang sangat terintegrasi dengan teknologi yang memperkasakan inklusif, kelestarian dan kemakmuran bersama, “kata Dr Sumitra Nair, Naib Presiden dan Ketua Kemahiran dan Pekerjaan Digital, MDEC .

Program #CJD menyediakan program pengembangan profesional untuk pemohon terpilih yang meliputi kursus pensijilan berkaitan teknologi digital dan penyertaan di makmal pemecut dan bootcamp melalui perkongsian dengan pelbagai rakan teknologi. Para guru #CJD juga akan ditawarkan latihan melibatkan pelbagai kemahiran. Mereka kemudian akan memanfaatkan dengan melaksanakan program penyebaran teknologi digital dalam pendidikan dan mengadakan sesi latihan untuk guru lain di daerah masing-masing.

Pada 2019, sebanyak lima guru dipilih sebagai #CJD dan ditambah menjadi 21 guru pada tahun lepas. Untuk edisi kali ini, lebih 180 permohonan diterima dengan 30 orang telah disenarai pendek yang menyaksikan El Gamillo muncul juara. Seterusnya, MDEC juga menyasarkan untuk mengenal pasti dan meningkatkan jumlah guru kepada dua guru #CJD di setiap 250 daerah pendidikan di negara ini menjelang 2025  dengan jumlah keseluruhan 500 guru #CJD di seluruh negara.

Di antara 30 #CJD terbaik tahun ini termasuklah Nadia Richard, seorang guru berketurunan Kadazan Dusun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah. Cikgu Nadia merupakan guru subjek Fizik dan Sains di sekolah berkenaan dan berpengalaman selama 13 tahun dalam profesionnya. Beliau juga sangat aktif dalam program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),  Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) dan juga merupakan tenaga pengajar utama untuk Pembelajaran Sains Secara Inkuiri (IBSE).

Sementara itu, Cikgu Selvarani Uthirakumaran, merupakan antara peserta yang memberi saingan sengit dalam #CDJ tahun ini dan turut mempertaruhkan kisah menarik untuk dikongsi. Antaranya pengalaman mengajar di sebuah sekolah kurang murid iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Kruit, Sungkai, Perak yang terletak kira-kira 80 kilometer (km) dari Ipoh yang hanya mempunyai 16 orang murid. Namun Cikgu Selvarani tetap bersemangat untuk ‘mendigitalkan’ muridnya apabila menggunakan platform dalam talian dan kaedah digital untuk memastikan pengajarannya lebih menarik. Beliau juga berpengalaman sebagai juri dalam beberapa pertandingan peringkat kebangsaan seperti Cabaran Kreatif STEAM 2020, Weastronauts – Golden Educational PBL Project dan International Digital Innovation and Invention Challenge.

#CJD terbuka kepada semua guru di negara ini yang berminat untuk melakukan transformasi pendidikan. Para peserta disyaratkan  menjadi penyokong aktif inovasi digital dan kreativiti dan juga mesti menunjukkan penggunaan teknologi dan platform digital yang berkesan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Mereka juga mesti aktif dalam program yang berkaitan dengan teknologi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Peserta lain yang mempunyai latar belakang menarik yang menyertai #CJD ialah Yu Kok Hui, seorang guru di SMK Skudai, Johor. Bersama dengan tujuh orang guru lain, Cikgu Kok Hui adalah Pengasas Pendidik Digital MY iaitu sebuah komuniti pengajaran yang menyokong teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Saluran YouTubenya mempunyai lebih dari 27,000 pengikut dan beliau  juga merupakan duta ‘wakelet and kahoot!’ tahun lepas.

Cabaran geografi dan kekurangan akses digital sentiasa menjadi masalah utama bagi sekolah di kawasan terpencil. Namun demikian, seorang guru yang bertugas di kawalan pedalaman, Muhammad Nur Firdaus Narawi tidak menjadikan ‘kekurangan’ berkenaan sebagai alasan untuk tidak menerapkan sentuhan digital dalam tugasnya. Beliau mengajar di SK Penghulu Imban di Dalat, Sibu, Sarawak yang terletak kira – kira 80 km dari Sibu. Sekolah ini mempunyai murid kurang daripada 300 orang dengan hampir 99 peratus berasal dari rumah panjang berdekatan. Muhammad Nur Firdaus telah mengembangkan pendidikan berasaskan laman web untuk mata pelajaran Sains bagi memberi nilai tambah dalam pengajaran dan pembelajaran. Sehingga kini, laman webnya  telah dilayari  lebih 15,000 orang yang berminat dengan kaedah yang dikongsikan olehnya.

#CJD adalah sebahagian daripada inisiatif gerakan #mydigitalmaker MDEC di bawah program #SayaDigital, inisiatif kesedaran digital unggul dengan fokus untuk memberi kesedaran dan peluang kepada rakyat terutama dari kumpulan sosio ekonomi yang rentan untuk menerapkan digitalisasi sejajar dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat