KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh mengingatkan pemimpin-pemimpin DAP yang masih berdegil supaya tidak menguji kesabaran orang Melayu dan umat Islam dalam hal yang menyentuh titah Sultan.
Tegas Akmal, politik ada batasnya dan adab kepada Raja jangan sesekali dilanggar.
“Apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sampai perlu mengeluarkan kenyataan media untuk kali kedua, itu bermakna ada pihak yang masih gagal faham bahasa adab, bahasa undang-undang dan bahasa hormat kepada institusi Raja.
“Titah Tuanku bukan cadangan politik. Titah Tuanku adalah pendirian jelas seorang Raja Pemerintah demi menjaga kepentingan negeri, rakyat, alam sekitar dan keharmonian masyarakat.
“Malulah menjadi pemimpin rakyat kalau soal asas seperti hormat kepada Sultan pun masih mahu dipolitikkan. Ini bukan soal siapa menang debat. Ini soal siapa tahu adat hidup bernegeri.
“Kalau sudah jelas Tuanku tidak berkenan, berhentilah berdalih. Jangan kerana mahu menjaga kepentingan politik sempit, institusi Raja pula mahu dicabar secara terbuka,” tegur Adun Merlimau itu.
Menurut Akmal, pemimpin yang baik mendengar titah dan memahami kebimbangan rakyat.
“Pemimpin yang angkuh pula mencari jalan untuk melawan, walaupun sudah ditegur dengan begitu jelas.
“Jangan sempitkan isu ini kepada sentimen kaum atau agama semata-mata. Tuanku telah menyebut dengan jelas tentang alam sekitar, kos, sumber tanah terhad dan kepentingan ekonomi negeri. Itu semua hujah rasional, bukan emosi.
“Saya ingin ingatkan pemimpin-pemimpin DAP yang masih berdegil dan jangan uji kesabaran rakyat Melayu dan umat Islam dalam hal yang menyentuh titah Sultan. Politik ada batasnya. Adab kepada Raja jangan sesekali dilanggar.
“Cukuplah. Hormati titah Tuanku. Hentikan polemik ini. Jangan sampai rakyat melihat kamu bukan sahaja gagal memimpin, tetapi gagal beradab sebagai pemimpin dalam sebuah negeri beraja,” tegas beliau.



