Malaysia akan perkenal ‘diplomasi Orang Utan’ buktikan pengeluar sawit jaga kelestarian alam – Johari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia berhasrat mewujudkan ‘diplomasi orang utan’ seperti China yang telah berjaya mewujudkan pelbagai ‘diplomasi panda’ kepada negara-negara di dunia.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kebanyakan rakan dagangan dunia semakin bimbang tentang kesan komoditi pertanian terhadap iklim, Malaysia boleh membuktikan kepada masyarakat global bahawa kita sentiasa menjaga keseimbangan antara memenuhi keperluan keselamatan makanan sambil menjaga alam sekitar.

“Ia merupakan satu strategi diplomasi, di mana kita akan menjadikannya hadiah kepada rakan dagangan serta hubungan negara luar terutama di negara pengimport utama seperti Kesatuan Eropah, India dan China.

“Dengan memperkenalkan ‘diplomasi orang utan’, ia secara langsung membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa Malaysia sentiasa komited terhadap pemuliharaan biodiversiti,” kata Johari ketika merasmikan Forum Biodiversiti Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Resorts World Awana, Genting Highlands, semalam.

Menurut beliau,Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan defensif terhadap soal minyak sawit, sebaliknya kita perlu menunjukkan kepada negara-negara dunia bahawa Malaysia merupakan pengeluar sawit yang mampan dan komited menjaga hutan serta kelestarian alam.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan syarikat besar sawit untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjaga, memelihara serta memberi kesedaran kepada rakan global kita di samping menyediakan kepakaran teknikal mengenai spesies hidupan liar yang ikonik di Malaysia.

“Ini akan menjadi manifestasi bagaimana Malaysia memelihara spesies hidupan liar dan mengekalkan kemampanan hutan kita terutamanya di dalam landskap perladangan kelapa sawit.

“Tahniah kepada Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) yang bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam menganjurkan Forum Biodiversiti 2024 ini,” ucap Johari.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat