KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin didakawa “kemaruk” untuk membentuk kerajaan baru yang dikemudi Perikatan Nasional (PN) sekali lagi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, Hamzah akan melakukan apa sahaja untuk merealisasikan hasrat untuk menukar kerajaan.
“Hamzah kata dia tidak pernah bermimpi atau mengigau untuk membentuk kerajaan baru. Tetapi dia mendoakan perkara itu akan jadi kenyataan.
“Kalau sampai berdoa, itu “kemaruk” namanya. Mengenali Hamzah dia akan buat apa sahaja seperti mana dia sanggup tinggalkan Umno. Cuma kali ini dia disusahkan oleh “akta anti lompat parti”.
“Tetapi Hamzah pakar tebuk atap. Dia akan tebuk individu individu yang masih ada di sana dan di situ. Hamzah bijaksana dan bijaksitu,” dakwa Puad.
Terdahulu Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN menegaskan, beliau tidak bermimpi atau mengigau seperti didakwa Perdana Menteri bahawa pembangkang memiliki akuan sumpah berkanun (SD) bagi membentuk kerajaan baru.
Hamzah berkata, sebaliknya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mengigau kerana takut dengan kedudukannya yang mungkin akan diambil alih.
Katanya, sebagai ketua kerajaan, Anwar sepatutnya memberi tumpuan menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri berbanding menyatakan perkara yang tidak sepatutnya.
“Semalam saya dengar ada seorang beritahu bahawa saya mimpi tiap-tiap minggu, saya nak maklum kepada beliau (Anwar) saya tak pernah mimpi pun tiap-tiap minggu. Saya nak beritahu yang hang (kamu) mengigau tu pasai (sebab) apa, saya tak cakap apa pun.
“Sejak dia jadi Perdana Menteri, saya cakap hanya dalam Parlimen beritahu yang hang la ni bukan lagi ketua pembangkang, yang jadi ketua pembangkang saya dan yang nak buat cerita bukan-bukan pasai apa,” katanya.
Baru-baru ini media melaporkan Anwar menggesa pembangkang supaya membawa akuan SD menyatakan sokongan Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baru selepas terdapat dakwaan ada gerakan dicetus PN yang didakwa sudah cukup menumbangkan Kerajaan Perpaduan.