KUALA LUMPUR – Menyesuaikannya dengan larangan kerajaan agar rakyat tidak balik kampung menyambut Aidilfitri, komposer Eddie Hamid tampil dengan versi berbeza lagu Kelik Laa Weii yang diciptanya, empat tahun lalu.
Diberi judul baharu, Jange Kelik Laa Weii berbentuk nasihat agar rakyat akur arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak membenarkan pergerakan antara negeri atau balik kampung meraikan 1 Syawal, dua minggu lagi.
Ketika dilancarkan, single Kelik Laa Weii yang didendangkan dua penyanyi dari Kelantan, Aris Kapilla dan Man Khan menjadi siulan, malah diangkat sebagai lagu rasmi rakyat Kelantan pada 2016.
Kali ini, sesuai dengan usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19, Eddie atau nama penuh, Abdul Hamid Adenan mencetuskan idea bersama Man dan Aris mencipta versi baharu lagu berkenaan.
Eddie berkata, sebelum rakyat berdepan ujian penularan COVID-19, dia pernah terfikir menghasilkan versi bertentangan jika lagu asal mendapat sambutan.
“Cuma ketika itu, saya belum terfikir waktu sesuai untuk merealisasikan projek itu.
“Tanpa diduga, kita berdepan ujian ini hingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.
“Ini termasuk larangan pergerakan merentas negeri seperti diumumkan Perdana Menteri.
“Lantas, saya, Man dan Aris terfikir ini masa yang sesuai untuk melancarkan lagu Jange Kelik Laa Weii bagi menyahut seruan kerajaan,” katanya kepada BH Online.
Eddie berkata, lirik bagi versi baharu lagu berkenaan dihasilkan Man, Aris dan Zulkifli M Ali.
“Kita mungkin rasa pelik dan janggal tidak dapat beraya di kampung halaman. Namun, semuanya untuk kebaikan bersama dalam memutuskan rantaian COVID-19.
“Tahun ini sahaja kita berkorban. Kita perlu akur dengan situasi semasa. Insya-Allah, Aidilfitri tahun depan kita kembali seperti sedia kala,” katanya yang menghadiahkan lagu itu kepada semua perantau yang tidak dapat pulang ke kampung halaman.
Sebagai permulaan, video muzik lagu Jange Kelik Laa Weii sudah dilancarkan sejak sejak 2 Mei lalu. Single itu akan dilancarkan di platform digital terpilih, mulai esok.
Eddie gembira ‘teaser’ lagu itu yang dikongsi di Facebook meraih 50,000 tontonan dalam tempoh tiga hari pertama, selain lebih 3,000 perkongsian di media sosial.
Tambahnya, akur dengan PKPB, lagu Jange Kelik Laa Weii disiapkan di studio berasingan.
“Bayangkan, saya di Kota Bharu, Man pula di Jeli dan Aris di Pasir Mas. Kami sama-sama bekerja menghasilkan lagu ini untuk diadun,” katanya.
Mengenai penggunaan dialek Kelantan, Eddie berkata, lagu berkenaan bukanlah untuk perantau dari negeri itu sahaja.
“Lagu ini sesuai untuk kita semua. Muzik dan bahasa adalah sesuatu yang universal.
“Saya percaya lagu ini menjadi ingatan untuk kita terus reda beraya sekalipun tidak dapat pulang ke kampung.
“Aidilfitri masih disambut biarpun di mana sahaja kita berada,” katanya yang aktif sejak era 1990-an.
Berita Harian