KUALA LUMPUR – Ramai mengenali Malaysia sebagai pemain utama dalam industri gas asli dan pengeksport LNG ke-5 terbesar di dunia.
Namun, menurut Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli kini realiti yang perlu kita hadapi bersama: rizab gas asli kita sedang berkurang dengan pantas, khususnya di Semenanjung Malaysia (-7 peratus CAGR) dan Sabah (-4 peratus CAGR).
Jelas beliau, hanya Sarawak mengekalkan bekalan yang stabil, menyumbang 59 peratus daripada jumlah rizab negara.
“Berdasarkan corak penggunaan semasa dan unjuran rizab, dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, Malaysia bakal berubah daripada pengeksport bersih kepada pengimport bersih LNG.
“Unjuran juga menunjukkan gas asli akan menyumbang sebanyak 56 peratus daripada campuran tenaga negara menjelang 2050 – memainkan peranan penting dalam penjanaan tenaga dan pembangunan industri negara. Ini menjadikan gas asli bukan sekadar bahan api peralihan, tetapi destinasi bahan api untuk Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Rafizi membangkitkan persoalan bagaimanakah Malaysia dapat menyelesaikan ketidakseimbangan antara permintaan dan bekalan ini?
“Dalam Simposium Gas Malaysia baru-baru ini, Kementerian Ekonomi mengumumkan bahawa Pelan Hala Tuju Gas Asli Kebangsaan akan dilancarkan tahun ini. Kita sedang mengambil beberapa langkah penting untuk mengurangkan halangan kepada akses pihak ketiga.
“Selain itu, mengukuhkan infrastruktur LNG negara dan juga meletakkan Malaysia sebagai hab gas asli utama ASEAN.
“Ini amat bertepatan dengan masa sekarang kerana ASEAN secara kolektif bakal menjadi pengimport bersih LNG menjelang 2027,” ujar beliau lagi.
Menurut Rafizi, Malaysia juga perlu segera memperbaharui kedudukan globalnya dalam landskap tenaga serantau yang sedang berubah ini.
“Cabaran ini besar, namun saya percaya kedudukan geografi kita, sikap berkecuali, dan kekuatan infrastruktur yang ada meletakkan Malaysia sebagai pesaing awal untuk mempamerkan kepimpinan dalam sektor ini,” katanya.