Malaysia perkukuh inovasi Bio-Kimia menerusi kerjasama MPOB–SumiSaujana

- Advertisement -

Malaysia sekali lagi memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang kimia mampan dan teknologi berasaskan bio menerusi satu perjanjian penting antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan SumiSaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd., anak syarikat kepada SumiSaujana Group Berhad.

Perjanjian Pelesenan dan Pengkomersialan Teknologi Poliol Berasaskan Sawit yang dimeterai di Hotel Marriott Putrajaya hari ini menandakan permulaan fasa baharu dalam usaha Malaysia memperluaskan aplikasi hiliran minyak sawit ke dalam industri kimia global yang bernilai tinggi dan berkembang pesat.

Menerusi perjanjian ini, SumiSaujana diberikan hak eksklusif untuk mengkomersialkan tiga teknologi hasil penyelidikan MPOB:

  1. Poliol berasaskan sawit
  2. Bahan perantara (intermediate chemicals)
  3. Poliol poliester bio

Kesemua teknologi ini menawarkan alternatif lestari dan boleh diperbaharui kepada bahan kimia petroleum yang digunakan secara meluas dalam pembuatan produk seperti buih poliuretana, salutan, bahan pengedap, elastomer, komponen automotif dan bahan binaan.

Teknologi tersebut bukan sahaja berupaya menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon, malah membuka potensi pasaran global bagi bahan kimia berasaskan bio.

“Kami percaya teknologi ini bukan hanya formula – ia adalah pemboleh. Ia adalah asas untuk mencipta penyelesaian mesra alam yang relevan dengan keperluan industri masa kini dan akan datang,” kata Encik Norazlam Bin Norbi, Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana Group Berhad.

Sebagai syarikat yang sebelum ini berfokus kepada bahan kimia khusus untuk industri minyak dan gas, kerjasama ini menandakan langkah signifikan pertama SumiSaujana ke dalam pasaran kimia khusus umum. Pasaran poliuretana global sahaja dianggarkan bernilai lebih USD86 bilion pada tahun 2024, manakala pasaran bahan perantara mencecah USD17 bilion pada 2022.

SumiSaujana melihat potensi besar untuk menggabungkan teknologi ini ke dalam portfolio produknya, memanfaatkan infrastruktur pengeluaran sedia ada serta jaringan eksport untuk menembusi pasaran global.

“Ini adalah permulaan kepada pengembaraan baharu kami dalam menerokai pasaran kimia mampan berasaskan bio sawit. Ia mencerminkan kepercayaan kami terhadap sains, teknologi dan kerjasama strategik,” tambah Encik Norazlam.

Ketua Pengarah MPOB, YBhg. Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir, menyifatkan perjanjian ini sebagai satu bukti nyata bagaimana penyelidikan yang dijalankan oleh institusi kerajaan mampu mencetuskan peluang perniagaan yang berimpak tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Poliol berasaskan sawit dan bio-poliester poliol bukan sekadar hasil R&D. Ia adalah simbol inovasi yang berpaksikan kelestarian. Melalui kerjasama seperti ini, kami percaya Malaysia mampu muncul sebagai hab teknologi bio yang unggul di rantau ini.

Beliau turut menekankan bahawa perjanjian ini selari dengan Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) yang menyasarkan pemerkasaan inovasi tempatan dan komersialisasi teknologi.

MPOB juga menyasarkan untuk menarik lebih ramai pemain industri menyertai inisiatif pengkomersialan teknologi, memandangkan pelbagai produk oleokimia lain seperti detergen, gris makanan, minyak transformer dan kosmetik telah berjaya dikomersialkan sebelum ini.

Kerjasama MPOB–SumiSaujana ini dilihat sebagai pemangkin kepada transformasi industri sawit tempatan – daripada sekadar pengeluar bahan mentah kepada penyumbang aktif dalam rantaian nilai global berasaskan bio. Ia juga memperkukuh imej Malaysia sebagai negara yang bukan sahaja kaya dengan sumber asli, tetapi juga inovatif dan berwawasan dalam memanfaatkan sumber tersebut secara mampan.

“Kita bukan sekadar mengeksport minyak sawit mentah – kita sedang mencipta teknologi, membina produk bernilai tinggi dan membina masa depan industri yang lebih hijau dan berdaya saing,” ujar Dr. Ahmad Parveez.

Dengan termeterainya perjanjian ini, MPOB dan SumiSaujana meletakkan satu penanda aras baharu dalam pembangunan dan komersialisasi teknologi berasaskan sawit. Ia membuka laluan kepada masa depan yang lebih mampan, inovatif dan menguntungkan – bukan hanya kepada syarikat terlibat, tetapi kepada industri sawit Malaysia secara keseluruhan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat