KUALA LUMPUR – Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia untuk pelajar B40 tidak lagi memberikan komputer riba cap ayam.

Katanya, adalah lebih baik sekiranya kerajaan memberikan komputer riba yang ada di pasaran supaya mudah untuk pelajar tuntut waranti atau dibaiki.

“Di Singapura pelajar mereka dapat iPad. Saya harap pelajar Malaysia janganlah dapat laptop cap ayam lagi.

“Mereka pun tak minta iPad, tetapi kalau beri laptop – bagi brand yang common di pasaran seperti Acer, Lenovo, Asus. Baru mudah nak claim warranty ke, nak hantar baiki ke, nak minta kedai tolong tengok.

“Kalau brand entah apa-apa, buatan OEM yang berkualiti rendah, mudah letup – malu dengan negara jiran dan saya kasihankan pelajar kita juga. Harap kerajaan kali ni betul-betul bantu pelajar,” cadang beliau dalam catatan di Facebook.

Ahli Parlimen Muar itu sebaliknya memberitahu, pelajar kita, tak perlu sampai beri iPad tapi janganlah cari alasan untuk bagi komputer riba cap ayam.

“Saya tak pernah minta kerajaan sediakan iPad sebab memang mustahil dengan kapasiti kita.

“Tapi tak boleh lah bagi komputer riba OEM, yang tak tau jenama apa, yang mudah rosak kepada pelajar kita,” jelasnya.

Permohonan bagi Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia khusus bagi pelajar institut pengajian tinggi (IPT) daripada golongan B40 akan dibuka bermula pertengahan April ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebanyak 400,000 pelajar seluruh negara dijangka mendapat manfaat daripada program itu meliputi pelajar IPT awam dan swasta, kolej komuniti dan kolej di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, termasuk mereka yang baru mendapat tempat di universiti nanti.