Sauh kapal karam diserang Houthi rosakkan kabel internet dasar laut

- Advertisement -

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) percaya sauh kapal yang diserang kumpulan Houthi memutuskan kabel internet dan komunikasi global di dasar Laut Merah.

Seorang pegawai pertahanan AS berkata, pihaknya membuat kesimpulan itu selepas membuat penilaian kerosakan.

“Kami pada masa ini menilai kerosakan yang dialami pada kabel dasar laut… adalah akibat serangan peluru berpandu Houthi pada 18 Februari terhadap M/V Rubymar, yang kini tenggelam,” kata pegawai itu.

Katanya, serangan itu memaksa anak kapal untuk menjatuhkan sauh dan meninggalkan kapal.

“Penilaian awal menunjukkan sauh yang menyeret di sepanjang dasar laut berkemungkinan memotong kabel dasar laut yang menyediakan perkhidmatan internet dan telekomunikasi di seluruh dunia,” menurut pegawai itu.

Rubymar yang berbendera Belize, yang dikendalikan Lubnan itu tenggelam pada Sabtu lalu dengan 21,000 tan metrik baja ammonium fosfat sulfat di atas kapal.

Houthi yang disokong Iran mula menyerang kapal di Teluk Aden dan Laut Merah pada November, dalam kempen mereka yang menandakan solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza.

Mereka berikrar untuk menyerang kapal Israel, British dan AS serta kapal yang menuju ke pelabuhan Israel selain mengganggu lalu lintas melalui laluan perdagangan penting di luar pantai Yaman. – AFP

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat