ProtectHealth Dilantik Pelaksana Penglibatan Swasta Dalam Program Imunisasi Covid – Dr Adham

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melantik ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) sebagai pelaksana penyertaan pengamal perubatan am swasta (GP) dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2 dan 3.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata mesyuarat khas Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) bersetuju dengan penglibatan GP dalam program imunisasi itu bagi memaksimumkan akses pengagihan vaksin COVID-19 dengan lebih meluas kepada rakyat.

Penglibatan GP itu adalah bagi pelaksanaan PICK pada Fasa 2 iaitu pada April hingga Ogos 2021 dan Fasa 3 bermula Mei 2021 hingga Februari 2022, katanya dalam sidang media bersama Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan program itu, di sini hari ini.

ProtectHealth diperbadankan pada 19 Dis 2016 di bawah KKM sebagai sebuah syarikat yang tidak berasaskan keuntungan.

Menurut Dr Adham, pelantikan ProtectHealth itu adalah berdasarkan pengalaman dan keupayaan ProtectHealth dalam mendaftar, menyelaras, memantau kualiti dan menguruskan pembayaran kepada pengamal perubatan swasta bagi Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

GP yang berminat boleh mendaftar dengan ProtectHealth bermula hari ini melalui laman sesawang www.protecthealth.com.my dan maklumat lanjut mengenainya akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Khairy ketika diminta mengulas pemberian vaksin COVID-19 kepada pengamal media berkata buat masa ini, JKJAV belum menyenaraikan petugas media sebagai mereka yang terlibat dalam fasa pertama.

“JKVAV telah tubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk melihat senarai permohonan untuk pemberian vaksin seperti yang diterima daripada pengamal media. Kita ada satu mesyuarat pada Khamis ini dan akan memaklumkan sekiranya terdapat update (kemas kini) untuk pengamal media,” kata Khairy. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat