Oleh Zihan Zari
KOTA TINGGI – Projek Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (HPUSIM) akan dibangunkan terletak di atas PTD 6216, Mukim Sedili Besar, dekat sini bakal menjadi hospital pengajar termaju dan patuh syariah.
Kompleks HPUSIM melibatkan kos RM938 juta dalam Bajet 2023 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar sebuah hospital malah merangkumi pembangunan akademik, asrama pelajar klinikal, kolej kediaman doktor pelatih, asrama jururawat serta kuarters staf.
HPUSIM berhampiran pantai peranginan Jason Bay itu, kelak memberi impak besar dalam aspek pembangunan infrastruktur, sosial, ekonomi, selain memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat.
Selain itu, sebagai langkah strategik memperkukuh akses pendidikan perubatan di negeri ini ke arah menyumbang kepada pembangunan kesihatan kepada keseluruhan warga Kota Tinggi.
Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, berkata, projek mega ini berkeluasan 65 ekar, dirancang dalam dua fasa akan bermula pada tahun ini dengan fasa satu dijangka siap pada 2031, diikuti fasa dua pada 2033.
Aznan berkata HPUSIM bukan sekadar sebuah hospital malah sebagai pusat latihan dan penyelidikan yang akan melahirkan lebih ramai tenaga profesional dalam bidang perubatan.
“Semoga projek ini menjadi pemangkin kepada kemajuan dan bakal mengubah landskap ekonomi Sedili serta warga Kota Tinggi dan bermanfaat kepada seluruh Bangsa Johor, ”katanya lagi.
Dalam pada itu, Aznan telah mempengerusikan taklimat bagi cadangan pembangunan HPUSIM di Pejabat Daerah dekat sini, pada Khamis.
Beliau bersama-sama ADUN Sedili, Muszaidi Makmor; Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hj. Miswan Yunus; dan Timbalan Pengarah Pembangunan, Jabatan Pembangunan & Pengurusan Fasiliti USIM, Khalid Mohd Ahwan turut membuat tinjauan turun padang ke tapak cadangan pembinaan HPUSIM.
Lawatan ini dilakukan bagi memantau dan memastikan segala perancangan kemajuan projek yang bakal menjadi pemangkin pembangunan di daerah ini
berjalan lancar.
Menariknya, HPUSIM berkapasiti 300 katil apabila siap kelak, akan dilengkapi dengan teknologi tinggi hijau, Pusat Rawatan Tertiari, Pusat Rehabilitasi dan Sains Sukan, dan Pusat Rawatan Hiperbaric Oksigen.-SUARA.TV