Sila Siasat Ketirisan Kerugian RM157 Juta UiTM Holdings- Khaled

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terbuka untuk disiasat berkenaan dakwaan ketidakcekapan dan ketirisan yang melibatkan UiTM Holdings rugi RM157 juta.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengalu-alukan sebarang bentuk siasatan dijalankan ke atas kerugian seperti dilaporkan media tempatan.

“KPT mengambil maklum laporan akhbar bertajuk “UiTM Holdings rugi RM157 juta” yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 7 Februari 2023.

“KPT mengalu-alukan sebarang bentuk siasatan dijalankan berkenaan dakwaan ketidakcekapan dan ketirisan yang dilaporkan tersebut. Pihak-pihak yang berkenaan mesti memberikan kerjasama yang sewajarnya,” tegas Khaled dalam kenyataan pada Selasa.

Selain daripada siasatan yang dijalankan, Khaled juga memberitahu KPT akan membuat semakan dan penambahbaikan terhadap garis panduan yang telah ditetapkan berkenaan pengurusan syarikat pegangan universiti seta mengukur kepatuhan oleh syarikat-syarikat yang berkaitan.

“KPT menegaskan bahawa pihak Kementerian tidak akan berkompromi sekiranya berlaku sebarang pelanggaran tau ketidakpatuhan terhadap garis panduan yang ditetapkan atau undang-undang sedia ada yang terpakai,” ujarnya.

Pun begitu jelas beliau, jumlah RM157 juta yang dilaporkan tersebut adalah berdasarkan kepada kiraan kerugian sebelum cukai terkumpul selama 4 tahun iaitu bagi tahun 2017, 2018, 2019 dan 2021.

“Manakala keuntungan sebelum cukai terkumpul yang dilaporkan bagi tahun 2011, 2013, 2014, 2015 dan 2016 adalah sekitar RM26 juta.

“UiTM Holdings Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat pegangan pelaburan milik penuh UiTM yang menguruskan lapan buah syarikat berkaitan tenaga, penjagaan kesihatan, teknologi dan kreatif,” katanya.

Sementara itu, Khaled menegaskan, penekanan khusus diberikan ole KPT dalam perkara-perkara yang melibatkan nilai integriti dan tata kelola dalam tadbir urus universiti.

“KPT juga berpandukan kepada, antara lain, UniT Green Book (Enhancing University Board Governance and Effectiveness) yang menggariskan berkenaan pengurusan kewangan dan penjanaan pendapatan universiti,” katanya lagi.

Terdahulu dilaporkan, sayap pelaburan UiTM iaitu UiTM Holdings Sdn Bhd yang sepatutnya menjana pendapatan kepada universiti itu direkod mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM157.04 juta bagi tempoh 4 tahun berturut-turut.

Berdasarkan laporan kewangan pada 2017 hingga 2021, syarikat yang menjadi harapan UiTM itu juga didapati tidak memaklumkan laporan kewangannya bagi tahun 2020, justeru kerugian terkumpul dicatatkan dalam tempoh 10 tahun adalah sebanyak RM157.8 juta.

Difahamkan, kerugian tersebut melibatkan pelaburan dalam pelbagai perniagaan termasuk projek menerbitkan filem sehingga hangus puluhan juta ringgit, selain resort penginapannya, Intekma Resort & Convention Centre di Seksyen 7 Shah Alam yang tidak efisien sehingga terpaksa dihentikan operasi.

Malah sebelum ini Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), anak syarikat UiTM yang ditubuhkan pada 2007 itu pernah mencatat keuntungan keseluruhan sebanyak RM26 juta pada 2011, 2014, 2015 dan 2016.

Namun sehingga 2021, UiTM Holdings menanggung hutang sebanyak RM293 juta iaitu pada kadar 64 peratus berbanding jumlah aset RM456 juta, sementara liabiliti semasanya berjumlah RM74.92 juta.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat