LONDON: Walaupun terdapat kemajuan relatif dalam proses pengedaran vaksin, laporan daripada pihak berkuasa kesihatan Britain menunjukkan kebanyakan individu daripada komuniti minoriti masih belum divaksin.
Berdasarkan laporan Royal College General Practitioners, 91 peratus individu yang telah menerima vaksin COVID-19 di Britain adalah berkulit putih, dua peratus berkulit hitam, sementara lima peratus dari latar belakang Asia.
Kepercayaan agama dan budaya dipercayai menjadi pendorong keraguan terhadap vaksin dalam kalangan masyarakat minoriti.
Doktor dari Hospital Royal Shrewsbury, Michael Dawes mendedahkan, ada jururawat enggan menerima vaksin kerana kepercayaan agama.
“Ini sangat mengejutkan saya apabila jururawat akan pergi dan memberitahu orang lain jangan mengambil vaksin.
“Tetapi yang paling menarik perhatian adalah ketika saya berbual dengan salah seorang jururawat dan mengajaknya untuk mendapatkan vaksin, dia berkata – ‘Tidak, pastor saya kata jangan.’ Ia mengejutkan, membuatkan saya marah dan saya meminta nombor telefon pastor berkenaan kerana ingin bercakap dengannya,” katanya – Astro Awani