‘Balik-balik cerita sama’

KUALA LUMPUR: Konflik dalaman keluarga korporat, ditipu lelaki ‘playboy’, isteri dianiaya suami dan perbezaan dua darjat menjadi plot cerita tipikal drama Melayu yang disiarkan di televisyen (TV).

Bukan mahu menolak hakikat ada rumah produksi menerbitkan karya bermutu, misalnya, drama rantaian Takdir Yang Tertulis, memaparkan kisah persahabatan empat individu yang ‘meledak’ sekarang, namun, rata-rata penonton jelak dengan formula sama disajikan dalam drama Melayu.

Dalam kepesatan era digital dan penguasaan platform penstriman, penonton mempunyai banyak pilihan.

Tidak hairanlah, drama Melayu yang memaparkan plot cerita ‘basi’ sering dikritik dan dijadikan perbandingan dengan kehebatan produksi drama Korea atau K-drama, mahupun yang disiarkan di platform berbayar, Netflix.

Persoalan plot cerita tipikal dalam drama Melayu ini membawa kepada perbincangan apa sebenarnya punca kepada masalah ini, andai perkara ini boleh dianggap sebagai kemelut dalam penerbitan kandungan Melayu untuk TV tempatan.

Ada pihak membangkitkan kemungkinan isu timbul apabila adanya kekangan bajet dalam berkarya.

Biarpun soal kewangan dianggap subjektif, di mana pengkarya kreatif mampu ‘bekerja’ dalam bajet kecil, namun, hakikatnya, bagi penerbitan kandungan di Malaysia, terutama pada era penularan COVID-19, soal ini penting untuk diberi perhatian.

Baru-baru ini, Netflix dilaporkan membelanjakan RM8 bilion (AS$2 bilion) bagi memberi lesen atau menerbitkan kandungan di Asia, dengan koleksi judul asli terkumpul melebihi 200 karya, membuktikan kesungguhan platform penstriman itu untuk memantapkan produk demi pelanggan.

BH Online mendapatkan tenaga kreatif belakang tabir termasuk pengarah, penerbit dan penulis skrip berkongsi pandangan mengenai isu plot cerita tipikal drama Melayu termasuk soal kekangan bajet.

Penulis skrip, Syed Mohd Taufik Syed Abdul Jalil membangkitkan soal tujuh asas dalam penghasilan cerita baik untuk drama mahupun filem.

“Asas pertama adalah apa yang dikatakan sebagai ‘overcome the monster’ di mana watak utama perlu berdepan pelbagai konflik.

“Ini diikuti ‘rags to riches’ di mana karakter itu berkembang menjadi lebih baik.

“Asas seterusnya menyaksikan watak utama mencari atau membongkar sesuatu masalah dan bertemu penyelesaian.

“Ini kemudian membawa kepada asas keempat hingga ketujuh di mana plot cerita berkembang dengan watak utama menimba pengalaman, melalui tragedi dan kejatuhan serta kelahiran semula selepas penderitaan,” katanya.

Syed Mohd Taufik bagaimanapun mengaku biarpun tujuh asas ini diterapkan, faktor tema drama, garapan skrip, olahan pengarah dan aksi pelakon menjadikan sesuatu produk atau karya berbeza.

Mengenai isu bajet, Syed Mohd Taufik lebih selesa mengambil pendekatan ‘ukur baju di badan sendiri’.

“Jika hendak mahu terus membandingkan karya luar lebih hebat daripada tempatan, sampai bila kita tidak akan maju.

“Soal bajet, bagi saya, sangat subjektif. Tidak semestinya bajet besar, hasilnya ‘meletup’… Begitulah sebaliknya,” katanya.

 

Shahrulezad yakin suntikan elemen baharu atau improvisasi mampu menjadikan sesebuah karya lebih menarik dan berbeza. Foto IG Shahrulezad Mohameddin
Shahrulezad yakin suntikan elemen baharu atau improvisasi mampu menjadikan sesebuah karya lebih menarik dan berbeza. Foto IG Shahrulezad Mohameddin

 

Sementara itu, pengarah drama Takdir Yang Tertulis, Shahrulezad Mohameddin mengaku lebih selesa menghasilkan karya mengikut kehendak dan permintaan penyiar, misalnya, stesen TV atau platform Over The Top (OTT).

Shahrulezad berkata, jelek atau tidak karya disajikan mengikut persepsi segelintir penonton, tidak pernah dianggap sebagai suatu halangan.

“Sejak 26 tahun berkecimpung dalam industri seni, saya sudah ‘masak’ dengan sepak terajang dan permainan dunia ini.

“Ibaratnya, kalau selama ini kita saji nasi lemak untuk pelanggan, tidak perlu buang masa untuk cuba hidangkan lasagna pula.

“Dengan menu nasi lemak yang disediakan itu, kita suntik elemen baharu atau membuat improvisasi.

“Hakikatnya, nasi lemak itu jugalah yang dicari biarpun ada sekelompok manusia tidak menggemarinya.

“Sampai sekarang resipi sama saya cuba buat dalam mengarah dan menerbitkan drama… Saya tidak boleh syok sendiri,” katanya.

Shahrulezad yang menghasilkan dua musim drama rantaian Nur yang mencetuskan fenomena, mengaku tiada masa hendak memujuk penonton yang negatif dan skeptikal terhadap drama Melayu.

“Mereka bukan sasaran saya… Tidak suka, sudah,” katanya.

Shahrulezad juga tidak melihat soal bajet sebagai kekangan berkarya.

“Soal bajet itu subjektif. Belum tentu bajet tinggi mampu menghasilkan karya baik.

“Begitu juga bajet rendah, tidak semestinya produk akhir boleh jadi bagus.

“Jika sesuatu karya itu bagus, pakailah kamera ketinggalan zaman pun boleh jadi bagus.

“Tetapi kalau ada bajet lebih, kita anggap ‘bonus’ untuk menjadikan karya itu lebih besar.

“Pokok pangkalnya, kalau isi cerita, skrip, pengarahan, garapan dan pelakon bagus, Insya-Allah karya jadi baik,” katanya.

Sementara itu, pengarah, Osman Ali mengaku sejak dahulu, mutu drama Melayu sering dipertikai dan dibandingkan dengan naskhah luar.

“Bagi saya, jawapannya jelas. Proses berkarya itu luas dan bebas. Namun, proses menghasilkannya dalam bentuk visual jadi terbatas.

“Pada dasarnya, drama yang disiarkan TV tempatan, satu episod durasi sejam dengan penggambaran tiga hari, kos pembikinan mencapai kira-kira RM40,000,” katanya.

Osman membandingkan saluran berbayar lain di mana kos pembikinan bagi satu episod melebihi ratusan ribuan ringgit dengan tempoh penggambaran lebih lama.

“Prosesnya sahaja sudah cukup hebat dan berbaloi kerana pasarannya bersifat global.

“Jika semua stesen TV tempatan menawarkan bajet yang lebih besar untuk produk drama kita, saya pasti kualiti drama akan jauh lebih bagus,” katanya.

Osman berkata, ruang kebebasan berkarya terutama dalam aspek penceritaan juga perlu lebih fleksibel dan tidak perlu terlalu dikawal dengan larangan.

 

Michael percaya individu yang hanya memikirkan keuntungan ketika berkarya, tidak akan pergi jauh. Foto IG Michael Ang
Michael percaya individu yang hanya memikirkan keuntungan ketika berkarya, tidak akan pergi jauh. Foto IG Michael Ang

 

Pengarah popular, Michael Ang percaya individu yang hanya memikirkan keuntungan atau syok sendiri ketika berkarya, tidak akan ke mana-mana dengan naskhah yang dihasilkan.

“Apa yang saya boleh cakap, kalau orang seni termasuk pengarah bersikap kreatif dan ada keghairahan berkarya, berikanlah bajet satu ringgit pun akan buat terbaik.

“Jika sekadar mengaut untung sahaja atau ‘feeling’ syok sendiri, laburkanlah RM10 billion pun benda yang dihasilkan tetap macam najis,” katanya.

Berita Harian

Topik Hangat

Muhyiddin Bakal Gugurkan Semua Menteri UMNO?

CYBERJAYA - Biro Politik Majlis Tertinggi (MT) Bersatu dijangka akan membuat keputusan meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggugurkan semua menteri kabinet dari...

Najib Masih Pilihan Rakyat Menjadi PM

CYBERJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan masih mempunyai pe­ngaruh tersendiri dalam kalangan rakyat negara ini dan menjadi pilihan diangkat semula sebagai Perdana Menteri...

UMNO Perlis terus kerjasama BERSATU/PN pada PRU-15, sanggah MKT

KUALA LUMPUR – Biarpun Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO nekad berpisah dengan BERSATU namun, UMNO Perlis tegar mempertahankan kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN) pada...

Berita Berkaitan

Lega orang ramai boleh kembali ke panggung wayang

Kuala Lumpur: Berita kebenaran pembukaan semula operasi panggung wayang melegakan pengusaha susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)...

Jadilah penyampai radio bertanggungjawab

Kuala Lumpur: Penyampai radio dan penyanyi, Haiza Hanafi mengingatkan penyampai radio lain termasuk dirinya supaya sentiasa menjaga reputasi dan nama baik majikan dengan tidak...

Ini Antara Filem Menarik Yang Menanti Anda Di Pawagam Bermula 5 Mac 2021

Kami pasti bahawa anda semua semestinya teruja di saat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengumumkan semalam bahawa pawagam akan dibuka semula pada 5 Mac ini....