KUALA LUMPUR – Ketua Umno Subang Datuk Armand Azha Abu Hanifah mengingatkan sayap muda DAP iaitu Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) agar tidak ‘menyibuk’ urusan dalaman Umno.
Tegas Armand, Umno tidak memerlukan DAPSY untuk mengajar atau mencampuri urusan dalaman parti Melayu itu.
“Kepada DAPSY Malaysia , jangan campuri urusan dalaman Umno.
“Umno adalah sebuah parti yang matang dan berpengalaman. Kami tahu bagaimana untuk menyelesaikan isu dan perbezaan pandangan dalam keluarga besar kami sendiri.
“Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Dr Akmal Saleh adalah sebahagian daripada keluarga besar Umno.
“Perbezaan pendapat yang wujud akan ditangani secara berhemah melalui saluran parti, tanpa perlu campur tangan pihak luar,” tegas Armand yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia.
Beliau malah menggesa DAPSY menghormati sempadan rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Fokuslah kepada urusan dan tanggungjawab parti masing-masing,” tegur Armand.
DAPSY semalam menggesa Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh segera meletak jawatan sebagai exco dan melaksanakan pendirian beliau untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
DAPSY Kebangsaan dalam satu kenyataan berkata, ini kerana gimik ‘keluar kerajaan’ yang dimainkan oleh Akmal dalam beberapa hari ini terbukti adalah bahan lawak politik apabila Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan untuk bersama Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, kenyataan Presiden Umno bahawa Umno ‘tidak mahu dipatuk ular sama kali kedua’ telah menutup ruang spekulasi rundingan Umno da n Pas.
“Tafsiran songsang Akmal Saleh kononnya Presiden Umno bersetuju kerjasama penyatuan orang Melayu jelas merupakan cubaan mengelirukan rakyat, tidak menghormati pendirian parti dan memalukan diri sendiri.
“Jadi, sekiranya Akmal Saleh benar-benar berprinsip, dia boleh meletakkan jawatan exco serta-merta tanpa perlu menunggu lagi.
“Jika masih kekalkan jawatan sedia ada, maka dia harus menelan semula apa yang pernah diungkap dan menghentikan segala tindakan dan retorik yang hanya berniat untuk merosakkan usaha kerajaan terhadap agenda reformasi dan kesejahteraan rakyat,” katanya pada Rabu.



