‘Tamasya Anak Muda’ yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 5 dan 6 Januari 2024 telah menutup tirai dengan persembahan penuh bertenaga daripada seniman lagenda Datuk M.Nasir.
Bertempat di Jiospace, kehadiran seramai kira 1,500 penonton bukan sahaja golongan dewasa, malah kelihatan ramai anak-anak muda yang memenuhi ruang acara persembahan pada malam itu.
Lagu-lagu seperti Hati Emas, Gerhana, Raikan Cinta, Mentera Semerah Padi, Apokalips, Juwita dan Falsafah Cinta, ternyata masih ‘evergreen’, tidak ditelan zaman apabila penonton yang hadir menyanyi bersama-sama beliau.
M.Nasir, yang berusia 66 tahun, mencipta satu lagi memori indah buat penonton yang hadir dengan menyanyikan lagu-lagu nostlagia dari kumpulan Search dan Wings iaitu Gadisku, Hukum Karma dan Pawana.
Tamasya Anak Muda yang dianjurkan oleh Luncai Emas ini juga turut menampilkan persembahan dari artis-artis dan kumpulan seperti Leaism, Amir Jahari, Arish Mikael, Pitahati, Margasatwa, Satwo, Iqbal M., Fazleena & The Lasykar, dan Jemput Dengar (DJ).
Acara ini turut dijayakan Sunburst Store, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), SIAR dan Fung Keong serta disokong Yayasan Hasanah dan Arts FAS.