UMNO tak jemput PKR, DAP hadir Perhimpunan Agung Umno

- Advertisement -

Oleh: Nik Syukri Ramli

KUANTAN : Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan parti itu tidak bercadang untuk menjemput wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu depan.

Beliau berkata, pucuk pimpinan parti turut memutuskan untuk tidak menjemput perwakilan duta asing seperti amalan dilakukan pada perhimpunan sebelum ini.

“Kami buat keputusan bahawa PAU kali ini adalah hanya antara parti-parti Barisan Nasional (BN), kami ingin menyelesaikan perkara-perkara berkait dengan keputusan dalaman Umno dan BN.

“Oleh itu bukan hanya parti-parti lain kita tidak jemput, tetapi duta-duta asing pun kita tidak jemput, tahun sudah (lalu) kita jemput, tahun ini kita tidak jemput, maka setakat ini itulah keputusan, kecuali berubah sehari dua lagi,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan menjemput wakil PKR dan DAP berikutan mereka kini berada dalam kabinet Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu dia yang juga Timbalan Menteri Kewangan mengadakan taklimat tertutup isu semasa bersama perwakilan Umno Pahang di Kuantan.

Turut hadir Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dia menambah keputusan sehingga ketika ini ialah hanya wakil daripada parti komponen BN selain perwakilan Umno sedia ada sahaja dijemput menghadiri PAU kali ini.

“Ini bukan bermakna kita tak kawan, jangan nanti tulis retak menanti belah, jangan memandai-mandai.

“Seperti mana yang saya sebut tadi, kita nak menumpukan isu-isu dalaman parti, muhasabah dan sebagainya, itu sebab pada pandangan kami, pada saat dan ketika ini kita belum membuka perhimpunan agung Umno kepada (wakil) daripada parti yang lain,” katanya lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan masih belum mendapat sebarang jemputan bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU), yang dijadualkan berlangsung minggu depan.

Beliau, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau tidak mahu mengulas satu-satu perkara yang belum ada kepastian.

“Dalam politik, tidak boleh (membuat ulasan) atas perkara seandainya, sekiranya …’what if’ tiada if..if hanya dalam puisi.

“Belum ada jemputan… tidak payah buat apa-apa… ini parti UMNO, saya PKR,” katanya kepada media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di ibu pejabat PKR, semalam.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat