KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai tarikan sebagai destinasi untuk perniagaan dalam komuniti global dan kerajaan memahami kepentingan untuk menarik pelaburan, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Walaupun menghadapi kesukaran pada 2020, katanya Malaysia terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI), mencatatkan RM109.8 bilion dari segi pelaburan yang diluluskan melibatkan hampir 3,000 projek dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2020.
Dalam aspek ini, katanya 59.5 peratus (RM65.3 bilion) daripada sektor pembuatan, 39 peratus (RM42.8 bilion) daripada sektor perkhidmatan dan 1.5 peratus (RM1.7 bilion) daripada sektor utama.
Tengku Zafrul merujuk kepada laporan oleh EY baru-baru ini yang memerihalkan Kuala Lumpur sebagai destinasi penting untuk komuniti perniagaan antarabangsa, mengambil kira faktor seperti kemudahan infrastruktur yang bersepadu, tenaga kerja yang pelbagai dan berkualiti, serta kesediaan negara untuk mengadaptasi teknologi digital.
Beliau turut merujuk kepada laporan Bloomberg yang meletakkan Malaysia di kedudukan kelima antara ekonomi membangun sebagai destinasi pelaburan dan perniagaan, melihat kepada potensi pemulihan ekonomi yang pesat, kedudukan fiskal dan kewangan yang stabil serta kemampuan untuk membendung dan mengatasi pandemik COVID-19.
Katanya kerajaan turut menyasarkan untuk menjana 500,000 pekerjaan pada tahun ini, yang juga merupakan antara agenda utama Belanjawan 2021.
“Bagi tujuan ini, selain daripada peruntukan RM3.7 bilion di bawah inisiatif JanaKerja, yang termasuk insentif pengambilan pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan semula serta peluang pekerjaan dalam sektor awam dan antara GLC; penting untuk dinyatakan bahawa inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri dengan penyertaan kementerian berkaitan seperti Kementerian Kewangan, Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Sumber Manusia.
“Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menjana peluang pekerjaan,” katanya.
“Ini adalah pengiktirafan kukuh terhadap usaha tindak balas krisis oleh kerajaan dan asas ekonomi negara yang masih kukuh,” katanya.
Bagaimanapun, katanya terdapat satu syarat utama bagi pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Peningkatan kadar jangkitan harian boleh menghalang usaha untuk mencapai unjuran bagi tahun 2021 dan selanjutnya. Oleh itu, kita mesti terus berwaspada. Kita telah memenangi pelbagai pertempuran, namun, kita perlu memenangi peperangan melawan COVID-19.
“Rakyat Malaysia dan sektor perniagaan tidak boleh leka. Marilah kita berdiri teguh menentang COVID-19, demi untuk kemenangan bersama,” katanya.
– BERNAMA