Tingkat kesedaran, pemuliharaan orang utan tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia

Oleh Zihan Zari

TAIPING – Walaupun habitat orang utan hanya di Sabah dan Sarawak, namun Majlis Sambutan Hari Orang Utan Sedunia (WOD 2025) di Semenanjung amat penting bagi menanam rasa kepemilikan bersama dan pemuliharaannya adalah tanggungjawab b seluruh rakyat Malaysia.

Orang utan sering disalah gunakan sebagai simbol kempen terhadap industri sawit oleh pihak tertentu yang cuba menggambarkannya sebagai punca kemusnahan hutan.

Statusnya sebagai haiwan terancam bukan alat untuk menyerang industri sawit, tetapi bukti bahawa sektor sawit mampan mampu menjadi rakan dalam menjaga kelestarian alam, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan WOD 2025 di Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) dekat sini, baru-baru ini.

WOD 2025 dianjurkan oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan Malaysia merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) ; Dato’ Abdul Hadi Omar; Setiausaha MPT, Hasmonaliza Hassan Basari; Timbalan Ketua Pengarah (Pemuliharaan) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Dato’ Fakhrul Hatta Musa; Pengarah ZTNS Dr. Muhamad Ridhwan Affendi; dan Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud.

Yusran Shah yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MPOGCF berkata Malaysia sejak sekian lama telah memperkenalkan pelbagai dasar dan piawaian lestari seperti Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang mewajibkan perlindungan kawasan Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV), mengawal pembukaan hutan baharu dan melaksanakan pemulihan koridor hidupan liar.

“Kita tidak menolak keprihatinan terhadap nasib orang utan, tetapi naratif yang berat sebelah ini perlu diperbetulkan.

“Statistik menunjukkan bahawa lebih 50 peratus (%) habitat orang utan di Sabah dan Sarawak kini berada dalam kawasan perlindungan dan sebahagian besar pembiayaan konservasi datang daripada hasil industri sawit sendiri melalui inisiatif seperti MPOGCF, Sawit Kinabalu dan syarikat-syarikat tempatan lain, ”katanya.

“Sambutan WOD 2025 ini bukan sekadar acara simbolik, tetapi satu kenyataan bahawa Malaysia komited terhadap keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemuliharaan biodiversiti.

“WOD 2025 bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya merupakan manifestasi komitmen Malaysia terhadap keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemuliharaan biodiversiti, ”ujarnya.

“MPOGCF turut memperkenalkan inisiatif Orangutan Diplomacy (OUDip), satu program pemuliharaan in-situ yang membolehkan orang utan bergerak bebas tanpa ancaman manusia, operasi perladangan mahupun aktiviti pelancongan.

“Baru-baru ini, MPOGCF menyalurkan sumbangan RM20,000 bagi pelaksanaan OUDip dan hasil jualan tiket Fun Walk hari ini juga akan disumbangkan ke tabung tersebut.

“Rakan industri sawit dan sektor korporat, diseru agar turut menyumbang ke tabung OUDip supaya kesinambungan usaha pemuliharaan ini terjamin. Setiap sumbangan adalah pelaburan untuk masa depan khazanah semula jadi negara.

“Usaha ini seiring komitmen kerajaan melalui Belanjawan Madani 2026 yang memperkasa pasukan renjer komuniti bagi melindungi hutan dan habitat hidupan liar termasuk orang utan.

“Langkah ini menzahirkan pendekatan inklusif di mana tanggungjawab pemeliharaan alam dipikul bersama oleh kerajaan, agensi, NGO, sektor swasta dan masyarakat, ”ujarnya lagi.

Tambahnya, MPOGCF, sebagai entiti amanah di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi, memainkan peranan penting menjajarkan sektor sawit dengan agenda konservasi. Pendekatan ini bukan sahaja menjaga imej minyak sawit Malaysia, malah membuktikan bahawa kemakmuran ekonomi dan kelestarian alam boleh bergerak seiring.

“Usaha ZTNS diiktiraf sebagai institusi pemuliharaan yang berjaya menggabungkan pendidikan, pelancongan dan konservasi, kerjasama ini wajar dijadikan contoh kepada agensi dan organisasi lain dalam mempromosikan nilai kasih sayang terhadap hidupan liar.

“Terima kasih juga kepada para penaja seperti Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), SD Guthrie, Let’s Play Performance serta Carabao Energy Drink atas sokongan menjayakan sambutan ini.

“Diharapkan lebih banyak pihak tampil membantu dan menyokong menjayakan inisiatif-inisiatif alam sekitar sebegini pada masa hadapan, ”tambahnya lagi.

Sementara itu, Setiausaha MPT, Hasmonaliza Hassan Basari berkata, ZTNS berperanan aktif dalam pemuliharaan orang utan di Semenanjung Malaysia dan kini menempatkan lima ekor orang utan Borneo terdiri daripada seekor jantan dan empat ekor betina.

Dalam pada itu, acara kemuncak sambutan, Larian Santai Orang Utan sejauh 2.5 kilometer (km) di dalam kawasan zoo yang disertai lebih 500 peserta, melalui beberapa ‘checkpoints’ untuk menjawab soalan kuiz berkaitan orang utan dan industri sawit.

Selain itu, Kuiz Kahoot, persembahan istimewa Caliph Buskers serta pameran agensi kerajaan dan rakan industri serta
peraduan mewarna yang menarik penyertaan hampir 200 kanak-kanak bagi mencungkil kreativiti dan mendidik generasi muda mengenai kepentingan memelihara habitat semula jadi serta menanam kesedaran tentang tanggungjawab bersama dalam melindungi spesies terancam.

Sejak diperkenalkan pada 2023, sambutan WOD telah menjadi program andalan MPOGCF dalam mendidik masyarakat tentang peranan penting orang utan sebagai spesies penunjuk kesihatan ekosistem serta memupuk kefahaman terhadap kepentingan pembangunan lestari dalam industri sawit.

Melalui sambutan ini, MPOGCF berhasrat untuk terus menghubungkan masyarakat dengan nilai pemuliharaan serta memperkukuh komitmen nasional terhadap usaha melindungi biodiversiti negara.

Selain itu, sambutan WOD 2025 turut menerima sokongan daripada rakan strategik MPOGCF termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Pensijilan MSPO, Sawit Kinabalu Sdn. Bhd., Wildlife Rescue Unit (WRU), Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia serta FELDA.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat