KUALA LUMPUR – Pakar sejarah negara, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling meninggal dunia pada pukul 4.30 pagi tadi di Hospital Shah Alam.
Bekas Penyandang Kursi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dilaporkan menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Jenazah Allahyarham akan dibawa untuk dimandi, dikafan dan dekat Surau Seksyen 3, di Shah Alam.
Terdahulu anak kepada tokoh akademik itu, Reza Zainal berkata, ayahnya sebelum ini dibawa ke unit kecemasan hospital tersebut selepas keadaan kesihatannya merudum akibat komplikasi diabetik yang dialaminya, lapor Utusan di Shah Alam pada Khamis.
Allahyarham Dr. Zainal memberi sumbangan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pakar Bidang Ensiklopedia Dunia, Pengerusi Pakar Bidang Kebudayaan, Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Ahli Lembaga Pengelola DBP, Ahli Jawatankuasa Penerbitan DBP.
Selain itu, Ahli Majlis Pemandu Basmi Kemiskinan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Ahli Jawatankuasa Penilai Institut Terjemahan Negara Malaysia, Ahli Jawatankuasa Pakar, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Ahli Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Ahli Persatuan Linguistik Malaysia dan Ahli Persatuan Diraja Bahagian Malaysia (MBRAS). Kini beliau bertugas di Jabatan Pengajian Malaysia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.