PELANGAI: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini membuktikan para pengundi di Pelangai bijak dan matang membuat keputusan kata Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurutnya, kemenangan Barisan Nasional ini juga adalah isyarat dari warga Pelangai yang mahukan sebuah Kerajaan Negeri yang stabil demi kemakmuran di masa hadapan.
Tegas Wan Rosdy lagi, ia juga membuktikan bahawa masyarakat Pelangai tidak sesekali terpengaruh dengan kempen agresif pihak Perikatan Nasional yang mengamalkan prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’.
“Kemenangan ini membuktikan bahawa masyarakat di Pelangai begitu matang dan bijak dalam membuat pilihan dan menentukan siapa wakil rakyat yang paling layak untuk mewakili mereka.
“Malah ia juga membuktikan bahawa masyarakat Pelangai tidak sesekali terpengaruh dengan kempen agresif pihak Perikatan Nasional yang mengamalkan prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’sehingga sanggup menabur fitnah, memaki hamun, mengadu domba, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah serta memburukkan kerajaan Negeri Pahang dalam setiap siri ceramah mereka,” katanya menerusi kenyataan Facebooknya, sebentar tadi.
Terdahulu, Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi DUN Pelangai yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lepas.
Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai yang berlangsung hari ini, calon BN menewaskan dua pesaing lain dari parti Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.
Datuk Amizar Abu Adam (BN) memperolehi 7,324 undi, Cikgu Kasim Samat (PN) memperolehi 4,375 manakala Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas) 43 undi.
Amizar menang dengan majoriti 2,949 undi.
Ujar Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO Malaysia itu lagi, kemenangan ini juga bermakna pihak Barisan Nasional telah berjaya menyekat Gelombang Hijau yang mereka canang dan banggakan selama beberapa bulan ini .
Dalam pada itu, Wan Rosdy mengucap terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh masyarakat di Pelangai samada di kampung tradisi, perkampungan Orang Asli, Kampung Baru, mahupun Gugusan Felda yang mengundi calon BN.
” Saya, Barisan Nasional dan Kerajaan Negeri Pahang akan membantu Wakil Rakyat Barisan Nasional DUN Pelangai, Dato Amizar Abu Adam yang baru sahaja dipilih, bagi memastikan kebajikan , keperluan, dan kesejahteraan masyarakat Pelangai terjaga dan terpelihara.
” Tugas dan tanggungjawab kita selepas ini adalah berkhidmat kepada rakyat. Saya percaya kemenangan ini membuktikan kebijaksanaan warga Pelangai memilih calon Barisan Nasional untuk membawa suara warga Pelangai di sebagai Dewan Undangan Negeri Pahang.” Katanya.-SUARATV