KUALA LUMPUR – Ke arah membina daya tahan negara, Kerajaan Keluarga Malaysia komited untuk melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir sehingga 2030 sebagai strategi jangka panjang bagi beradaptasi dengan perubahan iklim di seluruh negara dengan nilai keseluruhan RM15 bilion.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata, bagi tahun 2023, sebahagian besar projek akan dianugerahkan dengan anggaran perbelanjaan RM 700 juta.
“Antara projek utama yang digerakkan termasuklah pelaksanaan projek Empangan Sabo bernilai 562 juta ringgit di 46 lokasi seluruh negara bagi mengurangkan risiko banjir puing dan banjir lumpur seperti tragedi banjir di Baling, Kedah; pembinaan kolam takungan dwifungsi bernilai hampir dua bilion ringgit melibatkan jajaran di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Rasau, Selangor sebagai strategi serampang dua mata mengatasi masalah banjir dan sebagai sumber penyimpanan bekalan air mentah.
“Ketiga, projek fasa tambahan Lembangan Sungai Bersepadu di Sungai Golok, Kelantan hampir 500 juta ringgit; dan penaiktarafan sistem ramalan cuaca bagi memperkasa ramalan dan amaran banjir di peringkat nasional,” katanya dalam pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat di Parlimen.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul juga memberitahu bagi tahun hadapan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan diperuntukkan sejumlah RM174 juta.
Jelasnya ini sebagai langkah persediaan proaktif, Kementerian Kewangan akan terus menyalurkan tambahan RM 400 juta kepada NADMA supaya bersiap siaga membantu dengan segera jika berlaku banjir pada hujung tahun ini.
Tambah beliau, bagi tahun 2023, kerajaan telah menyediakan peruntukan awal berjumlah RM 100 juta di bawah Tabung Bantuan Bencana Negara dan Kementerian Kewangan bersedia untuk menambahkan peruntukannya mengikut keperluan.
“Sebagai langkah persediaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghadapi sebarang bencana, dua buah hospital medan tambahan melibatkan kos RM 47 juta akan siap pada hujung tahun ini di Kluang, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah. Sebagai tambahan, sebanyak 50 unit ambulans juga akan ditempatkan di kem tentera, sedia untuk dikerahkan untuk membantu jika berlaku bencana.
“Juga kerajaan menyediakan 20 juta ringgit di bawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti bagi manfaat 2,000 persatuan penduduk melaksanakan aktiviti kesukarelawanan. Antaranya termasuklah menyertai kursus kebombaan bagi mempersiap diri sekiranya berdepan sebarang bencana seperti banjir dan kebakaran di peringkat komuniti,” katanya.