SPRM Cari Menantu Muhyiddin, Peguam Bagi Bantu Siasatan Penyelewengan Projek Pekerja Asing

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

SPRM berkata, suruhanjaya itu cuba menghubungi dua lelaki terbabit yang juga seorang ahli perniagaan dan peguam, secara terus dan menerusi peguam masing-masing.

Namun, namun kedua-dua mereka enggan tampil memberi kerjasama.

Semakan rekod oleh SPRM juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu.

Setakat ini, tiada rekod menunjukkan kedua-duanya kembali ke Malaysia.

“Individu pertama, Muhammad Adlan Berhan, 48, mempunyai alamat terakhir di Lot 65, Sunway Kiara Hills, Jalan 32/70A Desa Sri Hartamas, di sini.

“Individu kedua, Mansoor Saat, 69, beralamat terakhir di 5 Jalan SS19/1C Subang Jaya, Selangor,” kata suruhanjaya itu menerusi kenyataan hari ini.

Datuk Muhammad Adlan adalah menantu kepada bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), manakala Mansoor adalah seorang peguam.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Nur Muhammad Amin Jamaluddin menerusi telefon 603-8870 0799 atau 016-4322 699 atau emel kepada [email protected].

Pada 28 Februari lalu, Muhyiddin ketika berucap di Parlimen, menafikan dakwaan bahawa anak dan menantunya (Adlan) memperoleh kontrak dalam Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

Beliau yang juga Ketua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu bangun mencelah selepas kekecohan berlaku sebaik Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) membuat dakwaan itu pada awal perbahasan Belanjawan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat.

“Saya duduk, agak bersabar mendengar tuduhan yang telah dibuat oleh Kota Melaka”

“Saya sudah jelaskan, Yang Dipertua pada hari saya berucap yang lepas. YB (Yang Berhormat) Jelutong (ketika itu) bangkit dan beberapa lagi YB Ipoh Timur tak silap saya bangkit soal itu.

.”..yang mengatakan tentang menantu (Datuk) Muhamad Adlan (Berhan) telah pun mendapat kontrak NIIse iaitu sistem Imigresen yang disatukan di waktu mana Larut (Datuk Seri Hamzah Zainudin) adalah menteri dalam negeri.

“Saya sudah sebut hari itu, ia adalah pembohongan, fitnah, tidak betul dan pertuduhan yang berat nak menjatuhkan maruah saya dan juga maruah keluarga saya. Ini perkara yang berat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau juga menyifatkan laporan media mengenai isu itu sebagai berita palsu.

“Tetapi kalau nak tanya saya, saya nak beritahu di sini dengan jelas bahawa (dakwaan) itu tidak benar, bahawa keputusan yang telah dibuat oleh pihak jawatankuasa pemilihan untuk memilih penender sebagai tender terbuka bukan syarikat milik anak menantu saya iaitu syarikat daripada Iris Corporation Berhad.

“Saya nak jelaskan di sini sebab ini peluang saya nak nyatakan dengan jelas….kalau YB di sini membangkitkan itu (tuduhan) itu di luar, saya akan ambil tindakan undang-undang.

“Kalau berani sebut di luar (Dewan Rakyat),” katanya ketika itu merujuk kepada Poay Tiong. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat