Pemilihan Calon Memihak Kartel, Objektif Terpesong Faiz Umum Keluar Bersatu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Selepas tujuh tahun akhirnya Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman mengumumkan peletakan jawatan sekali gus keluar parti.

Mengakui kekal istiqamah dan wala’ dengan kepimpinan parti sejak 2016 walaupun sedar jarang diberikan peluang yang serius untuk “diperkasakan” sebagai pemimpin pelapis meskipun ketika Bersatu memegang tampuk kekuasaan dalam kerajaan Persekutuan sejak 2018 hingga 2021.

“Pada tarikh 7 Ogos 2023 saya Muhammad Faiz Bin Na’aman, no keahlian Parti Bersatu 00000061 telah mengutuskan surat rasmi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu menyatakan peletakan jawatan saya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang dilantik oleh beliau, serta pemberhentian saya dari menjadi ahli Parti Bersatu berkuatkuasa serta-merta.

“Adalah dengan berat hati keputusan besar tersebut terpaksa dibuat memandangkan saya adalah antara 100 ahli dan orang muda terawal yang menyertai Parti Bersatu ketika penubuhannya dalam tahun 2016 dahulu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut tindakan itu, Faiz menyatakan sedikit demi sedikit Bersatu telah terpesong dari objektif awal kononnya untuk menggantikan Umno dengan memberi lebih ruang kepada ramai orang muda dan muka-muka baru terutama yang mempunyai latar belakang yang bersih, kelulusan akademik yang dihormati serta mereka yang setia dengan parti dari mula.

Tambah beliau lagi, keputusan kepimpinan parti yang seringkali mengabaikan suara akar umbi, para pengasas awal dan teguran jentera bawahan menyebabkan Parti Bersatu telah mengalami kekalahan dalam PRN Melaka dan PRN Johor sebelum ini.

“Sejarah itu juga dilihat bakal berulang dalam PRN 6 buah negeri terutama untuk kerusi-kerusi Bersatu dalam PRN Selangor sekarang.

“Pemilihan calon-calon yang berat sebelah kepada pihak “kartel” tertentu serta calon-calon bidan terjun yang baru dijadikan ahli parti hanya semata-mata untuk dipertandingkan dalam PRN Selangor telah menyebabkan terjadi pemberontakan lebih kurang sembilan bahagian Bersatu di Selangor ini hingga terdapat insiden membakar bendera Perikatan Nasional (PN) secara terbuka sebagai tanda protes akar umbi terhadap percaturan jawatankuasa pemilihan/ saringan calon yang bertanggungjawab terhadap penamaan calon-calon PRN tersebut tanpa mengambil kira sentimen penerimaan pihak Bahagian dan jentera di lapangan.

“Malah kelemahan Lembaga Disiplin parti yang lambat dan banyak kerenah telah menyebabkan watak-watak yang telah keluar dan mengkhianati parti dalam PRU15 lalu boleh kembali mendakwa dirinya masih menjadi ahli Parti Bersatu untuk dipilih menjadi calon PN dalam PRN ini,” katanya.

Ujar Faiz lagi, adalah tidak menghairankan jika Bersatu tidak lagi menjadi wadah tumpuan penghijrahan mereka dari parti-parti lain atau menjadi sasaran kemasukan anak-anak muda serta orang baru dalam politik memandangkan kerapuhan sistem pengurusan keahlian, kedudukan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang sering kali hanya menjadi tempat diberi taklimat tentang keputusan dan tindakan yang telah pun dibuat terlebih dahulu oleh Biro Politik, hingga kepada tiadanya usaha jelas untuk pengkaderan bagi mewujudkan barisan kepimpinan parti yang berkualiti demi masa hadapan.

“Lebih memalukan sekarang ialah Bersatu hakikatnya makin tidak dihormati malah ada permintaan dan keputusan rundingan tidak diendahkan oleh parti rakan komponen yang terkuat dalam PN apabila mereka tahu bahawa Bersatu makin lemah dari segi kepimpinan dan pengaruh akibat terlalu banyak percaturan politik dalaman dan watak-watak yang tidak dihormati masyarakat luar diangkat menjadi pemimpin sama ada di peringkat Pusat, Negeri atau Bahagian dalam parti.

“Sebagai seorang yang sejak dari awal tanpa segan menisbahkan diri dengan istilah nasionalis moderat, saya agak kecewa Bersatu kurang menekankan mengenai roh asas ideologi perjuangan di kalangan pemimpin dan akar umbi parti, hingga ada pihak-pihak yang baru menyertai Bersatu cuba membawa mentaliti serta budaya lama dari wadah mereka yang terdahulu.

“Ini sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan mengenai DNA dan aspirasi sebenar Bersatu di persada politik tanah air kerana Bersatu sepatutnya giat mempromosikan kesederhanaan yang berpaksikan Rukun Negara dan semangat kebangsaan pro rakyat marhaen dengan menjarakkan diri dari kelompok ultra Melayu, ultra liberal atau ekstremis agama,” katanya.

Dalam pada itu, Faiz memohon maaf kepada semua andai selama saya berpolitik dalam wadah Bersatu ada terlajak berkata-kata, membuat tuduhan atau label-label yang kurang enak kepada pihak yang dikritik.

“Saya ingin membuka lembaran buku baru kehidupan sempena penghijrahan saya ini tanpa menoleh lagi ke belakang.

“Saya harap kita boleh mengamalkan politik matang berdasarkan rasional, fakta, realiti dan keutamaan dalam membentuk masyarakat yang adil, cerdik menilai dan tidak taksub dengan individu yang tidak maksum demi membina kembali negara majmuk milik segenap warganegara Malaysia yang tercinta ini.

“Kepada rakan-rakan yang masih berjuang dengan ikhlas dalam Bersatu dan keluarga besar PN saya hormati pendirian serta semangat kalian. Ukhwah yang pernah terbina antara kita insan ini insya-Allah tidak akan terputus walaupun mungkin suatu hari nanti kita telah berlainan wadah. Kita mungkin ada perbezaan pendapat dan pendekatan, namun tetap masih boleh dicari titik persamaan dalam perihal memajukan bangsa dan negara,” katanya.

Kredit foto: FB Dr Fsiz

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat