KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard mendesak Kerajaan Selangor untuk menyatakan status Hutan Simpan Bukit Lagong.
Beliau mempersoalkan tindakan Kerajaan Selangor yang didawa menukar terma hutan simpan kepada kuari hutan.
“Adakah kerajaan negeri guna terma baru iaitu kuari hutan bagi kawasan hijau tanpa menukar taraf hutan simpan?
“Menurut dokumen yang ditemui menunjukkan 27 plot kuari hutan telah diberi kepada perbagai pihak untuk dibuat kuari hutan.
“Sebanyak mana balak dikeluarkan atas nama kuari hutan juga perlu diperjelaskan apabila antara 27 plot tersebut turut dimiliki oleh (syarikat) Menteri Besar Diperbadankan.
“Jabatan Hutan seharusnya menjaga hutan tetapi di bawah kerajaan ini, Koperasi Jabatan Perhutanan Selangor turut dapat hak teroka hutan simpan. Adakah ini operasi semua dapat habuan untuk tutup kegiatan,” soal beliau pada sidang media pada Isnin.
Dakwa Che’gu Bard lagi, antara 27 plot tersebut diperolehi oleh Jernih Jasa Intan Sdn Bhd (JJI).
“Dipercayai syarikat bertaraf RM2 dan baru ditubuhkan sebelum memperolehi “kuari hutan tersebut”. Syarikat ini dimiliki oleh Khairul Afiq A Rahim berusia 30 tahun syarikat itu mendapat anugerah kuari hutan bernilai jutaan ringgit.
“Amiruddin kena jawab kerana menurut carian kami pemuda itu ialah anak kepada Timbalan Ketua Keadilan Gombak dan merupakan setiausaha politik Amiruddin di kawasan.
“Lebih menarik dan pelik pada September 2022, sebuah NGO dikenali Projek Pendedahan Rimba (RDP) telah mendedahkan tanah Hutan Simpanan Bukit Lagong dijual pada harga RM150,000 seekar di laman web EdgeProp.
“Secara keseluruhan, sejumlah 40.468 hektar hutan simpanan sedang dijual di laman web untuk tujuan kuari. Dimana peta yang ditandatangani Pengarah Jabatan Hutan Selangor Mohd Ridzuwan Endot yang menunjukkan 27 plot kuari hutan telah disiar iklankan.
“Adakah ini menunjukkan syarikat-syarikat yang dapat ialah syarikat yang tidak kompeten, dimana menjual kuari hutan itu selepas mendapat anugerah dan adakah dana penjualan kuari hutan masuk ke kocek ahli politik regim campuran sebagai untung atas angin? soalnya.