Ganja Perubatan: Negara Jiran Sudah Melangkah Ke Depan, Malaysia Bila Lagi?

KUALA LUMPUR – Lebih 40 negara maju sudah menggubal undang-undang untuk membenarkan ganja perubatan di negara masing-masing.

Hal demikian Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terus menggesa Kerajaan Malaysia untuk mengkaji undang-undang berkaitan ganja perubatan dengan segera.

“Susulan keputusan mahkamah saudara Yassin untuk melepas tanpa membebaskannya berkenaan tuduhan berkaitan ganja, saya menggesa Malaysia untuk mengkaji undang-undang berkaitan ganja perubatan dengan segera.

“Thailand juga sudah melalui Akta Narkotik 1979 – menggugurkan ganja daripada senarai narkotik terkawal dan menjdi negara Asia pertama membenarkan rakyat menggunakan ganja,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Malah kata Ahli Parlimen Muar itu lagi, lebih 7,488 kes berkaitan ganja di Mahkamah Thailand juga akan digugurkan.

“Hari ini, Indonesia juga telah memulakan perbincangan awam berkenaan usaha untuk membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.

“Bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi dan Senator Datuk Ras Adiba juga menggesa Kerajaan Malaysia untuk terus mengambil langkah serius untuk membenarkan pesakit untuk mengambil ganja perubatan secara sah di Malaysia melalui pindaan undang-undang.

“Saya percaya Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam penggubalan undang-undang untuk membenarkan penggunaan ganja perubatan,” tegasnya.

Data dan sains untuk ganja perubatan adalah jelas dan diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” kata Syed Saddiq.

“Kes seperti saudara Yasin perlu menjadi satu signal yang jelas untuk Kerajaan Malaysia membantu lebih ramai pesakit di luar sana,” jelas beliau.