“Rakyat Sedang Memerhati” – Pemuda DAP Tegur Tindakan Sekat Fahmi Reza

- Advertisement -

CYBERJAYA – Ketua Pemuda DAP (DAPSY), Woo Kah Leong mengkritik keras tindakan pihak berkuasa yang melarang artis grafik dan aktivis politik, Fahmi Reza, daripada meninggalkan negara, menyifatkannya sebagai sesuatu yang “tidak boleh diterima”.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Woo menyatakan bahawa tindakan menyekat pergerakan seseorang hanya kerana karya seni atau pandangan kritis merupakan satu penyalahgunaan kuasa pentadbiran.

“Tak sepatutnya seseorang yang hanya menyindir melalui lukisan dan tulisan dilarang dan disekat pergerakannya ke mana-mana,” kata Woo.

Menurut beliau, jika benar ada pelanggaran undang-undang, maka individu tersebut sepatutnya didakwa di mahkamah dan bukan dikenakan tindakan pentadbiran secara senyap seperti senarai hitam imigresen.

“Kalau tulisan atau lukisannya betul-betul salah di bawah peruntukan undang-undang, hadapkan sahaja individu tersebut ke muka pengadilan dan biarkan hakim yang membuat keputusan,” tegasnya.

Woo juga mengingatkan bahawa tindakan sedemikian boleh menjejaskan reputasi pentadbiran Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Imej pentadbiran Madani tidak seharusnya dicalarkan oleh tindakan sebegini. Rakyat sedang memerhati dan larangan harus ditarik balik serta-merta tanpa sebarang syarat,” katanya lagi.

Fahmi Reza sebelum ini mendakwa telah disenaraihitam dan dihalang ke luar negara pagi tadi ketika berada di KLIA, dipercayai berpunca daripada karya grafiknya yang mengkritik pelantikan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, sebagai Yang di-Pertua Negeri.

Beliau turut dihalang memasuki negeri Sabah minggu lalu atas alasan yang tidak diperjelaskan secara rasmi.

Sehingga kini, tiada kenyataan dikeluarkan oleh pihak polis mahupun Kementerian Dalam Negeri berhubung justifikasi sekatan terhadap Fahmi Reza.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat