Tuntutan Sulu: Kemenangan muktamad milik Malaysia, kedaulatan negara utuh dipelihara – Zambry

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Keputusan Mahkamah Rayuan Perancis menolak penguatkuasaan ‘partial award’ Kumpulan Sulu telah memberi kemenangan muktamad kepada Malaysia menegakkan kedaulatan negara ini.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, keputusan ini juga menyangkal sebarang usaha oleh mana-mana pihak yang mencabar dan menafikan kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia.

Justeru menurut beliau, Wisma Putra akan terus memberi kerjasama sepenuhnya dalam mendokong usaha Jabatan Peguam Negara serta Sekretariat Khas untuk mempertahankan kedaulatan, keutuhan wilayah dan kepentingan negara.

“Minggu lepas ketika Lawatan Kerja di Perancis dan berjumpa rakan sejawat saya, komitmen tinggi diberikan oleh Kerajaan Perancis yang menyokong penuh kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia berdasarkan sempadan yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Semalam, 6 Jun 2023, dalam kes tuntutan Sulu, saya berbesar hati untuk berkongsi keputusan Mahkamah Rayuan Perancis yang menerima rayuan Kerajaan terhadap Exequatur Order yang diperolehi pihak Penuntut bagi mengiktiraf Preliminary Award.

“Ia merupakan satu lagi keputusan yang memihak kepada Malaysia selepas Mahkamah Rayuan Paris menolak cubaan pihak penuntut untuk mencabar stay Final Award pada bulan Mac tahun ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Zambry turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Terima kasih dan tahniah kepada Datuk Seri Azalina Othman Said dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak,” ucapnya.

Mahkamah Rayuan Perancis semalam mengekalkan keputusan menolak penguatkuasaan ‘Partial Award’ kepada kumpulan mendakwa sebagai waris Sulu yang sebelum itu diputuskan penimbang tara, Dr Gonzalo Stampa pada 2020.

Keputusan itu memberikan kemenangan muktamad kepada Malaysia untuk menegakkan undang-undang, sekali gus menolak tuntutan tidak masuk akal dikemukakan Kumpulan Sulu.

Azalina berkata, melalui keputusan mahkamah itu, ini bermakna pihak yang menuntut itu tidak lagi boleh bergantung kepada keputusan salah yang dibuat di Perancis pada Februari 2022 atas apa-apa tujuan.

Katanya, Mahkamah Rayuan Paris juga mendapati penimbang tara itu terkhilaf dalam bidang kuasanya.

“Ia adalah keputusan yang muktamad dan utama, kemenangan untuk Malaysia menegakkan undang-undang, yang menyebabkan kekalahan kepada pihak penuntut dan pembiaya mereka.

“Salah satu strategi kasar yang dilakukan penuntut menerusi ‘Partial Award’ itu adalah menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk sebahagian kedutaan).

“Malaysia juga memerangi tindakan itu melalui dasar kekebalan diplomatik, justeru pihak penuntut ketika ini harus menarik balik tindakan, susulan keputusan hari ini (semalam), yang mana ‘Partial Award’ di Perancis itu tidak berkesan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat