Karya pertama Asia Tenggara manfaat teknologi NFT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Filem Rompak melakar sejarah apabila memanfaatkan teknologi baharu yang didukung ribuan ahli komuniti yang menjadi pemegang NFT (Non-Fungible Token) bagi karya arahan Ghaz Abu Bakar itu.

Malah, filem yang dibintangi Zizan Razak, Tony Eusoff, Daiyan Trisha, MK K-Clique, Azhar Sulaiman, Ezlynn, Niezam Zaidi, Siti Khadijah Halim dan Chubb E itu menjadi filem pertama Asia Tenggara memanfaatkan teknologi NFT.

Filem Rompak mengangkat tema penipuan dan ‘scam’ yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat.

Ia diterbitkan portal kewangan, Intraday.my dengan kerjasama syarikat produksi, 4ward Pictures.

Ketua Pegawai Eksekutif Intraday, Moshed Mohamad, berkata sudah tiba masanya NFT diterima dan diguna pakai di Malaysia.

Dalam erti kata mudah, katanya, NFT boleh difahami melalui situasi sebegini.

“Bayangkan, ada sebuah karya seni yang mempunyai tarikan tiba-tiba tular dan menjadi perhatian ramai.

“Tetapi, kita tahu, karya mudah dicuri dengan kepesatan teknologi hari ini. Ada sahaja pihak yang sewenang-wenangnya ‘merompak’ tanpa memberikan kredit atau maklumat sumber diperoleh.

“Namun, menerusi penggunaan NFT, karya seni boleh dilindungi dan disifatkan aset yang ada nilai tersendiri,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Rompak di Dadi Cinema, Pavilion, baru-baru ini.

Tambah Moshed lagi, NFT terikat dalam satu kontrak yang berada dalam blok rantaian sampai bila-bila.

Katanya, pengguna mempunyai hak milik ke atas karya seni bergantung cara pemilikan ditentukan pihak penerbitan.

“Umpama orang guna barang ‘rare’. Barang itu tentu asli dan kita boleh menjejaki siapa pemilik asalnya menerusi NFT. Blok rantaian seperti kod boleh menyebabkan orang luar mengetahui kepunyaan siapa.

“Seperti projek filem Rompak, saya keluarkan NFT yang dipanggil sebagai pemegang projek. Bererti, kami boleh mengesan peminat yang menyokong filem ini.

“Sebagai contoh, kami menjual 1,000 saham tanpa mengetahui siapa mereka sebelum ini. Namun, menerusi teknologi NFT kami boleh mengetahui.

“Mereka yang membeli dan memiliki NFT filem dapat merasakan ia seperti karya kepunyaan mereka. Malah, memperoleh manfaat, termasuk keuntungan 20 peratus hasil royalti filem apabila ditayangkan,” katanya.

 

Moshed mensasarkan 50,000 komuniti NFT di Malaysia dapat diraih dalam masa terpantas.

 

Moshed menambah, NFT membolehkan pelbagai masalah berbangkit seperti isu royalti yang mengundang perdebatan ramai.

“Menerusi NFT, kami mahu mencetuskan revolusi baharu untuk mempelbagaikan pendapatan daripada karya dihasilkan.

“NFT diperkenalkan bagi mendidik orang ramai mengenai pasaran kewangan masa kini.

“Kami mahu wujudkan komuniti ini dengan mengajar dan mendedahkan teknologi NFT dalam masa beberapa bulan.

“Bukan sekadar melabur membeli NFT sahaja, tetapi kami mahu mereka memahami ilmu dan kepentingannya.

“Sebagai permulaan, ia bermula dengan projek filem Rompak. Kami mensasarkan 50,000 komuniti NFT di Malaysia dapat diraih dalam masa terpantas,” katanya.

Katanya, menerusi Intraday, pelbagai instrumen seperti kadar tukaran saham, pembelian emas dan pelaburan lain disebar secara meluas.

“Harus diingat NFT adalah teknologi berdasarkan kadar tukaran wang. Mungkin orang ramai akan faham apa yang cuba dilakukan menerusi NFT dalam tempoh beberapa tahun.

“Seperti harga filem Rompak dijual berdasarkan harga penawaran pasaran. Kami buka beberapa harga pengenalan menerusi pelbagai peringkat.

“Sebagai contoh, beli dengan harga RM400 secara peribadi, tetapi apabila dibuka umum, harga boleh melambung sehingga RM1,000. Teknologi NFT menggabungkan banyak benda seperti pusat dagangan pasaran saham.

“Sehingga kini, jualan NFT bagi filem Rompak sudah mencecah RM1 juta sejak dilancarkan, Januari lalu. Dengan kehadiran NFT, orang ramai berpeluang menikmati pelbagai kelebihan ditawarkan,” katanya.

Filem Rompak akan ditayangkan menerusi Astro First bermula 16 Jun ini.

NFT adalah satu daripada bentuk geran yang memberikan hak cipta terhadap aset secara digital. Setakat ini, ia agak popular dalam perkongsian gambar, namun kini pelbagai pihak melihat kepada kepelbagaian penggunaan teknologi NFT ini.

Sesuai arus teknologi dunia masa kini, permintaan terhadap karya seni dalam bentuk NFT semakin meningkat dan penggunaan teknologi berasaskan blok rantaian ini menjadi perhatian ramai, termasuk selebriti dan jenama terkemuka di seluruh dunia.

Malaysia turut mengorak langkah menjadikan NFT sebagai dagangan utama yang menyaksikan token digital bagi membolehkan sesiapa sahaja menjual dan membeli hak milik aset digital.

Berita harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat