KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil pendekatan yang teliti dan berhemah dalam menangani isu tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS), dengan mengutamakan rundingan diplomatik serta kerjasama serantau.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pendekatan ini dilaksanakan secara tenang dan seimbang, dengan tujuan utama untuk melindungi kepentingan negara serta memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia memainkan peranan aktif dalam memperkukuh hubungan dengan AS serta rakan dagang utama seperti China dan Kesatuan Eropah (EU).
“Dalam masa yang sama, kerajaan turut meneroka peluang perdagangan baharu dengan negara-negara ekonomi sedang pesat membangun seperti Rusia dan Brazil, sebagai sebahagian daripada usaha mempelbagaikan pasaran eksport negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan itu lagi, poendekatan ini sejajar dengan strategi ekonomi jangka sederhana negara yang memberi tumpuan kepada kestabilan makroekonomi, daya tahan perdagangan global, dan peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), demi memastikan kemakmuran yang inklusif dan mampan untuk seluruh rakyat.