KUALA LUMPUR -Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong meramalkan adalah tidak mustahil DAP menjalin kerjasama politik sekali lagi dengan PAS pada masa akan datang dengan objektif untuk kekal berkuasa dalam Kerajaan Persekutuan.
Ka Siong menjangkakan situasi itu akan berlaku dalam tempoh 5 atau 15 tahun akan datang sekiranya undi PAS masih menjadi pilihan majoriti rakyat Malaysia.
“Ramalan saya kalau PAS masih berkuasa, saya tidak menolak kemungkinan DAP akan jumpa dia balik, kerjasama kali keempat.
“Kerana apa yang penting (bagi DAP) ialah kuasa perlu dipertahankan, itu saja ramalan saya.
“Kita tengok 5 ke 15 tahun akan datang adakah ramalan saya akan jadi kenyataan,” jangka Ka Siong dalam audio siar Keluar Sekejap pada Selasa.
Mengulas perkara lain, Ahli Parlimen Ayer Hitam menegaskan bahawa parti MCA yang dinaunginya tidak akan sama sekali menjadi DAP 2.0 yang dahulunya bersikap ekstrem dan chauvinist untuk mendapatkan sokongan semula orang Cina.
“Bagi saya parti MCA ni DNA nya berlainan sedikit, MCA adalah ejen muhibah dan perpaduan, kita tak akan rosakkan masyarakat
jangan kita menang sorak, kampung tergadai.
“Kita menghayati setiap detik pembangunan yang kita telah lalui. Maka bagi saya, saya mempertahankan kebajikan dan kepentingan masyarakat Cina dalam kerangka berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan itu saja,” jelas Ka Siong.
Tegas beliau, “kalau nak MCA mengapi-apikan seperti DAP, maaf ini bukan cara kami (MCA)”.
Tanpa berselindung, Ka Siong juga membidas DAP yang kini baru menyedari bahawa tidak mudah menjadi parti kerajaan terutamanya dalam aspek ‘pelaksanaan’ sesuatu perkara yang telah dijanji kepada rakyat.
“Itu yang berlaku kerana dulu mereka cuma perlu bercakap tak perlu deliver dan kami apabila nak berunding tak boleh nak cakap dulu sebab kena jumpa PM, masalah tak selesai.
“Sekarang mereka baru faham kenapa Jemaah Menteri di Kabinet buat sesuatu keputusan yang perlu didokong oleh semua sebab itu perbezaannya dulu cakap senang, sekarang kamu jadi kerajaan kamu kena deliver.
“Dulu kamu (DAP) nak iktiraf UEC, kamu buatlah tapi dulu kamu ‘bantai’ kita buat apa. Saya tak akan cakap apa, saya cuma kata jangan buat tak serupa bikin, itu saja.
“Bagi saya, tak sampailah untuk saya nak mengapi-apikan, mencetuskan kontroversi- tidak. Tapi kita berasaskan kepada fakta, itu perbezaannya,” kata Ka Siong.
Presiden MCA itu menegaskan, parti komponen BN itu pragmatik dan progresif.
“Misalnya satu hari nanti kalau Melayu dengan Cina di bawah DAP dengan parti PAS ke siapa ke dah hubungan ibaratkan aur dengan tebing maka tugas kita sebagai parti politik dah selesai, ini yang kita nak lihat ejen muhibah.
“Kita tak rasa apologetik kerana masih lagi tak relevan, sebab kalau hubungan kaum dah baik maka tugas kita ‘mission accomplished’ tapi bolehkan macam tu? soalnya.