Pelajar IPT Pulang Cuti Aidilfitri Secara Berperingkat, Patuh SOP Ditetapkan

KUALA LUMPUR – Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mula pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat hari ini sempena sambutan Aidilfitri.

Pihak IPT menyediakan kenderaan khas bagi proses penghantaran pulang dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Kementerian Pengajian Tinggi sebelum ini memaklumkan pergerakan pulang pelajar dibuat menerusi tiga kaedah iaitu menggunakan bas diselaras IPT, kenderaan sendiri dan dijemput ibu bapa.

Di JOHOR, sejumlah 1,983 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mula melakukan perjalanan pulang sekitar 12 tengah malam tadi dengan lapan bas disediakan bagi pergerakan ke Zon Timur dan Utara manakala lima lagi bas bagi Zon Tengah pada sebelah pagi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Profesor Dr Shamsul Sahibuddin berkata 2,073 pelajar membuat permohonan pulang membabitkan 1,983 orang dari kampus Johor Bahru serta 90 pelajar dari kampus Kuala Lumpur.

Beliau berkata kebajikan hampir 2,000 pelajar di kedua-dua kampus yang tidak dapat pulang ke rumah masing-masing akan dijaga pihak universiti itu.

“Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, yang juga Canselor UTM, turut berkenan mengambil berat dan meminta maklumat tentang pelajar yang berada di kedua-dua kampus untuk diberikan perhatian,” katanya.

Di SELANGOR, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Dr Roziah Mohd Janor berkata universiti itu menyediakan lebih 200 unit kenderaan terdiri daripada bas, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta untuk melancarkan penghantaran pulang pelajar di 30 kampus dengan penglibatan lebih 700 kakitangan dalam Ops Pulang Aidilfitri.

Beliau berkata 400 pelajar dari kampus induk di Shah Alam, Puncak Perdana, Puncak Alam, Sungai Buloh, Permatang Pauh, Bertam, Sri Iskandar, Tapah dan Sungai Petani dihantar pulang menggunakan 14 bas hari ini, dengan proses itu dibuat secara berperingkat hingga 12 Mei.

“Jumlah keseluruhan pelajar yang terlibat dalam Ops Pulang Aidilfitri ini ialah 16,000 dan ada yang pulang dengan kenderaan sendiri,” katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan menghantar pulang 440 pelajar menggunakan 18 kenderaan khas bermula esok hingga 11 Mei ke zon yang dikenal pasti.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailan berkata pergerakan pertama bermula 8 pagi esok ke Kelantan dan Terengganu manakala pergerakan ke Perlis, Kedah dan Pulau Pinang pada Selasa.

Di KEDAH, seramai 1,049 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok pulang secara berperingkat mulai hari ini kecuali ke Sarawak.

Naib Canselor UUM Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata kesemua pelajar bergerak dengan kenderaan sendiri, dijemput ibu bapa atau penjaga, menaiki bas sewaan khas yang diselaras oleh pihak universiti serta penerbangan bagi pelajar yang pulang ke Sabah.

Di PERLIS, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Profesor Dr Mohd Rizal Arshad berkata pihaknya menyediakan 20 bas bagi perjalanan pulang 1,927 pelajar ke seluruh Semenanjung bermula malam ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Mazrul Hisyam Mat Ali berkata pihaknya menyediakan tiga bas untuk perjalanan ke zon selatan, timur dan tengah serta sebuah lagi untuk menghantar pelajar ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Kepala Batas.

Di PERAK, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata 101 pelajar dihantar pulang menggunakan pengangkutan milik universiti itu hari ini.

Di KELANTAN, pergerakan pulang 160 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok hari ini berjalan lancar melibatkan lima bas bagi pergerakan ke Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Pahang dan Terengganu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK Profesor Dr Razli Che Razak berkata seramai 1,282 pelajar terlibat secara keseluruhan bagi proses penghantaran pulang sempena Aidilfitri. – Bernama

Advertisment

Topik Hangat

Biro Politik UMNO Putus Beri Notis Masa 14 Hari Sidang Parlimen

(kemaskini 12.30 a.m) KUALA LUMPUR - Biro Politik UMNO yang mengadakan mesyuarat sebentar tadi membuat keputusan memberi notis  14 hari kepada kerajaan agar memanggil sidang...

Parlimen Bersidang Segera, Vaksinasi Tanpa Birokrasi – Titah Agong

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah menitahkan m persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana...

Ada Gerakan Baharu Dari UMNO Untuk Sokong Anwar?

CYBERJAYA - Elit politik UMNO petang semalam gempar dengan pendedahan satu akaun twitter yang mendakwa ada gerakan terbaharu dari UMNO untuk menyokong Datuk Seri...

Berita Berkaitan

Ada MP UMNO ‘Sign’ Dokumen Sokong Anwar, Zahid Jadi Saksi, Dakwa Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam mendedahkan seorang Ahli Parlimen daripada UMNO mengaku dirinya telah menandatangani dokumen sokongan...

Menteri dan Timbalan Menteri BN Ikrar Terus Sokong Muhyiddin Hingga PRU

PUTRAJAYA - Menteri dan Timbalan Menteri dari Barisan Nasional (BN) berikrar akan terus menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri disebalik notis...

BBC, Majlis Pembangkang Selangor Sokong Persidangan Dun Diadakan Segera

KUALA LUMPUR: Majlis Penyokong Kerajaan (BBC) dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menyokong titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah...