KDNK 2025 dinilai semula impak tarif AS, getah dan plastik antara industri terjejas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia akan menilai semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2025, yang sebelum ini ditetapkan antara 4.5 hingga 5.5 peratus, susulan pelaksanaan tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan berterus terang bahawa impak langsung cabaran ini adalah dari segi pertumbuhan KDNK Malaysia pada tahun ini, dan mungkin tahun-tahun akan datang.

Sebagai salah satu rakan dagangan terbesar AS di ASEAN, dan juga salah satu destinasi utama pelaburan asing dari AS, Tengku Zafrul berkata, pelaksanaan tarif pasti akan memberi kesan jangka pertengahan hingga jangka panjang.

“Kesan ini dijangka meluas (broad-based) kerana tarif juga telah dikenakan ke atas hampir setiap rakan dagang dan rakan sumber pelaburan Malaysia.

“Sekiranya lebih banyak negara melaksanakan tarif timbal balas, perang perdagangan di seluruh dunia bakal menggugat pertumbuhan ekonomi global,” katanya dalam sidang media khas di Bangunan MITI, lapor Astro Awani pada Isnin.

Tengku Zafrul berkata, antara impak langsung dan tidak langsung ialah, sesetengah eksport Malaysia akan lebih kompetitif dalam pasaran global berbanding beberapa negara yang dikenakan tarif lebih tinggi dari Malaysia.

Kadar 24 peratus, jelasnya lagi, boleh dianggap sederhana berbanding Kemboja (49%), Indonesia (32%), Laos (48%), Myanmar (45%), Thailand (37%), Vietnam (46%), dan China (34%).

“Ramai penganalisis berpendapat ini menjadikan Malaysia lebih menarik bagi pengimport dan syarikat AS yang mencari input atau barangan perantaraan,” katanya lagi.

Selain itu Tengku Zafrul berkata, dari segi kesan penggantian, eksport minyak sawit Malaysia, contohnya akan menjadi lebih kompetitif, dengan peningkatan permintaan.
Bagaimanapun beliau berkata, impak langsung yang negatif adalah dari segi pengurangan permintaan.

“Bila ini berlaku, hasil akan berkurangan dan pekerjaan dalam sektor eksport akan terkesan. Apabila permintaan berkurangan, pelaburan dan perbelanjaan juga akan berkurangan.

“Kesemua faktor ini akan menyebabkan penurunan dalam KDNK Malaysia. Jika pelbagai negara menghadapi situasi yang sama, pertumbuhan global akan melembap,” jelasnya lagi.
Buat masa ini, Tengku Zafrul berkata, beberapa pengecualian melindungi sektor semikonduktor iaitu kategori eksport terbesar Malaysia ke AS.

“Bahan mineral kritikal, farmaseutikal dan beberapa produk berkaitan tenaga juga dikecualikan. Tetapi banyak sektor lain akan terjejas – seperti mesin dan peralatan, perabot, getah dan plastik,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai pelaburan yang diluluskan, Tengku Zafrul berkata, terlalu awal untuk menilai impak kepada operasi masing-masing sehingga tarif dilaksanakan pada 9 April.

“Beberapa pelabur berkongsi bahawa rantaian bekalan mereka akan terkesan, terutama dari segi contract manufacturing.

“Ada pelabur Malaysia yang sedang memperlahankan pelan pengembangan perniagaan masing-masing, dan mula berjimat, sambil memfokus kepada perluasan pasaran di China, India dan ASEAN,” katanya lagi.

Justeru Tengku Zafrul berkata, Kerajaan Madani berazam untuk mengatasi cabaran tersebut, dan MITI ingin menjemput semua sektor industri, dewan industri dan persatuan untuk bekerjasama dalam mencari penyelesaian terbaik untuk negara.

“Walau apapun, saya ingin memberi keyakinan kepada pihak industri dan rakyat bahawa MITI akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan agar kepentingan Malaysia sentiasa terpelihara.

“Yang penting adalah kesejahteraan rakyat dan juga sektor perniagaan atau eksport kita,” katanya lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat