PMQ: Tidak Berpeluang Atau Tak Tanya Soalan? – Kah Woh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh menafikan dakwaan pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN) tidak berpeluang mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun mereka hadir semasa persidangan Dewan Rakyat.

Menurut beliau, terdapat perbezaan antara “pemimpin tertinggi tidak boleh bertanya soalan” dan “pemimpin tertinggi tidak bertanya soalan” semasa sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) pada setiap Selasa.

“Apabila PN mengadu bahawa trio tertinggi (pemimpin) mereka tidak mempunyai peluang untuk bertanya soalan, soalan pertama yang mereka harus jawab ialah: adakah mereka (trio) pernah mengemukakan sebarang soalan semasa sesi PMQ?

“Tiada soalan untuk dipilih bagi jawapan sekiranya tiada soalan dikemukakan. Logik yang mudah,” katanya yang juga mantan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Parlimen dalam hantaran di Facebook, pada Jumaat.

Menurut Kah Woh, proses standard Parlimen yang menetapkan Ahli Parlimen yang tidak mengemukakan soalan masih berpeluang mengemukakan kebimbangan mereka melalui soalan tambahan, jika dibenarkan oleh Speaker Dewan Rakyat.

“Bagi soalan pertama di bawah sesi PMQ semasa hari terakhir persidangan, Speaker membenarkan soalan tambahan keempat ditanya berkaitan lawatan (Anwar) ke China.

“Ia juga merupakan konvensyen Parlimen sekiranya Ketua Pembangkang bangkit dan minta untuk berucap, atau dalam kes ini (membentangkan) soalan tambahan, beliau akan diberi keutamaan.

“Namun, apabila anda tidak berada di dalam dewan, anda pasti tidak mempunyai peluang untuk bertanya soalan tambahan, tidak kira betapa seniornya anda,” katanya.

Semalam, Tuan Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, ketidakhadiran tiga pemimpin tertinggi PN di Parlimen tidak harus dijadikan isu kerana “tidak semua Ahli Parlimen boleh bertanya soalan kepada Perdana Menteri”.

Bahkan katanya, ketidakhadiran Ahli Parlimen kerajaan adalah lebih “dahsyat” lagi terutama apabila Perdana Menteri tiada dalam dewan berkenaan.

“Kita (PN) ada lebih 70 ahli parlimen dan perkara itu (ketidakhadiran) hanya sekadar isu yang dibangkitan seolah-olah nak burukkan pembangkang.

“Tak perlu berbangkit pun, kalau nak kira ketidakhadiran mereka (wakil rakyat kerajaan) lagi dasyat, masa perdana menteri ada saja penuh” katanya.

Pemimpin trio tertinggi PN, iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, gagal memanfaatkan sesi tersebut semasa persidangan Dewan Rakyat sebelum ini.

Selasa lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menzahirkan kekecewaannya apabila tiga pemimpin tertinggi PN terbabit tidak mengambil peluang semasa sesi PMQ untuk bertanya soalan kepada Perdana Menteri.

Menurut beliau, sesi PMQ pada setiap Selasa adalah peluang terbaik pembangkang untuk membangkitkan soalan, berdepan dan bersemuka dengan Anwar.

Sejak itu, pemerhati politik berpendapat ketiadaan pemimpin tersebut boleh dianggap sebagai isyarat tidak menghormati mandat pengundi mereka.

Bagaimanapun, mereka berkata, tindakan itu tidak akan menjejaskan sokongan orang ramai terhadap gabungan tersebut.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat